Berita Utama

Pejuang naik taraf pusat tahfiz, pondok di Temerloh jika diberi mandat

‘Saya akan pastikan semua ADUN buat kerja, bantu penduduk’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

TEMERLOH, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Menaik taraf institusi pondok dan pusat tahfiz sekitar Temerloh antara hasrat utama Haji Aminuddin Yahaya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Banyak institusi pondok dan pusat tahfiz di Temerloh tidak dibangunkan oleh mana-mana pihak, yang mana bergerak atas inisiatif dan dana sendiri. 

“Di sini dan sekitarnya memang banyak madrasah, pondok dan pusat pengajian Islam yang rata-ratanya perlukan pembelaan. 

“Kita berhasrat untuk naik taraf institusi pondok dan pusat tahfiz dari segi infrastruktur dan kemudahan. Inj fokus saya jika diberi peluang di kerusi P.088 Temerloh,” katanya.

Selain itu, Aminuddin juga mahu mewujudkan pusat mediasi masyarakat pelbagai kaum di kawasan Temerloh.

Katanya, hubungan antara kaum sangat penting, jadi pusat ini akan menjadi tempat pertemuan semua kaum untuk bergaul dengan lebih baik.

“Kita mahu masyarakat bekerjasama untuk membangunkan Temerloh dengan lebih harmoni dan bahagia sekali gus mendapat manfaat hasil pembangunannya,” kata Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang.

Pada masa sama, beliau juga berhasrat mewujudkan lebih banyak pusat rekreasi sekitar Temerloh untuk memberi ruang kepada keluarga dan belia untuk beriadah dan bersosial.

“Kita mahu menambahkan lagi tempat-tempat menarik untuk mereka datang bersantai. 

“Kita akan mewujudkan fasiliti untuk anak muda seperti taman-taman rekreasi, gelanggang sukan seperti futsal, badminton, bola jaring dan sebagainya,” katanya.

Aminuddin berkata, semua impian ini dapat dapat dilaksanakan sekiranya beliau dan calon-calon Pejuang di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lanchang, Kuala Semantan dan Mentakab berjaya diangkat menjadi pemimpin kawasan tersebut.

“Kita tak menjanjikan bulan dan bintang tuan-tuan. Kita menjanjikan perkara yang kita boleh buat, praktikal dan sesuai dengan orang di Temerloh ini, insya-Allah.

“Pantau kami tuan-tuan. Kalau kami tak buat kerja, datang ‘complain’, laksanakan demonstrasi besar-besaran. 

“Saya akan pastikan semua DUN kami buat kerja, membantu tuan-tuan dan puan-puan. Kalau kami buat kerja undi kami sekali lagi pada PRU16,” seloroh Aminuddin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button