Berita Utama

Laporan pelajar buli di MRSM dipindahkan tidak benar

Polis masih tunggu keputusan forensik bagi lengkapkan kertas siasatan

KUANTAN, 25 Muharam 1444H, Selasa – Laporan bahawa beberapa pelajar didakwa terbabit kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dipindahkan ke tempat lain adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya dimaklumkan berita berkenaan adalah tidak benar.

“Berita tersebut tidak benar dan telah dinafikan oleh unit korporat Mara dan pihak kita akan meneruskan siasatan dan masih menunggu keputusan dari forensik,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Semalam, beberapa media telah mengeluarkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Hasbi Habibollah mengatakan pelajar MRSM Kuantan yang terlibat dengan kejadian buli telah ditukarkan ke tempat lain.

Kenyataan itu bagaimanapun telah ditarik balik selepas satu lagi kenyataan daripada pegawai bahagian Komunikasi Korporat Mara, Adham Hatta menyatakan beberapa laporan berita yang dikeluarkan selepas sidang akhbar Hasbi di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA di Kuching, Sarawak semalam adalah tidak tepat.

Kenyataan terbabit bagaimanapun telah mula tular dan sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

Wan Mohd Zahari berkata, pihak polis masih menunggu keputusan forensik bagi melengkapkan kertas siasatan terhadap dakwaan kes buli yang berlaku di MRSM Kuantan di sini.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan seperti sebelumnya iaitu di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button