Berita UtamaDunia

Gaza terus berdarah, 700 syahid dalam 24 jam terakhir

Di mana-mana saja terdapat kanak-kanak yang melecur, ibu meratapi kehilangan anak

GAZA, 20 Jamadilawal 1445H, Isnin – Lebih 700 terkorban dalam serangan udara dalam tempoh 24 jam ketika rejim Zionis mengarahkan penduduk di bandar kedua terbesar iaitu Khan Younis berpindah.

Ketua Pengarah Pejabat Media Hamas memberitahu, kesemua yang syahid itu berlaku sejak rejim pengganas meneruskan pengeboman selepas gencatan senjata tujuh hari, Jumaat lalu.

Sehingga kini lebih 1.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya dari utara Gaza, sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan pada 7 Oktober lalu.

Sejak semalam, pengeboman hebat dilaporkan di Khan Younis, Rafah, dan beberapa bahagian utara yang menjadi sasaran serangan udara dan darat rejim pengganas.

“Di mana-mana sahaja anda pergi, terdapat kanak-kanak yang melecur tahap ketiga, luka serpihan, kecederaan otak dan patah tulang.

“Ibu-ibu meratapi kehilangan anak mereka, ia kelihatan seperti zon kematian,” kata jurucakap UNICEF, James Elder.

Sementara itu, seorang kakitangan hospital, Omar al-Darawi berkata, 31 penduduk dilaporkan syuhada dalam pengeboman di seluruh Gaza dan kesemua jenazah itu dibawa ke Hospital tengah Deir el-Balah di Gaza.

Manakala di utara Gaza, pasukan penyelamat dengan kekurangan peralatan terus menggali runtuhan bangunan di kem pelarian Jabaliya dan kawasan kejiranan lain untuk mencari mangsa yang berpotensi terselamat dan juga mayat yang terperangkap di bawah runtuhan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button