Berita UtamaPendapat

Tentera pengguna dalam pembebasan Palestin

Boikot protes aman berkesan beri tekanan kepada kapitalis

TAUFAN Al-Aqsa membahagikan masyarakat dunia kepada dua pihak, penyokong Israel atau penyokong Palestin. Tidak keterlaluan jika kita syaratkan, setiap individu, komuniti, institusi, dan negara, wajib menyatakan pendirian secara jelas dan tegas dalam mendepani isu ini. Manakan tidak, berdasarkan statistik diandaikan seorang kanak-kanak terbunuh setiap sepuluh minit kesan serangan genosid Zionis Israel terhadap Palestin. Lebih 10,000 nyawa telah terbunuh dan pelbagai undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia dibakulsampahkan oleh negara penjajah Israel. Hospital dan kem pelarian dibom, hak individu untuk mendapatkan air bersih, keperluan asasi, dan perubatan dinafikan. Tiada manusia normal yang memiliki rasa empati dan kasih sayang mampu berdiam diri dan berpeluk tubuh dari mengambil peranan mengecam dan bertindak untuk mengelakkan kezaliman ini berleluasa.

Setiap ahli masyarakat bertanggungjawab memainkan peranan mengikut kapasiti masing-masing khususnya pada posisi sebagai pengguna yang perlu berbelanja untuk kehidupan seharian. Setiap sen yang dibelanjakan adalah pendapatan kepada peniaga. Pendapatan ini mengukuhkan sesebuah perniagaan dan secara langsung memperkasakan pemilik perniagaan dari segi kewangan untuk memenuhi agenda peribadi mereka. Memahami perkaitan ini, tidak hairan antara usaha yang boleh dilaksanakan para pengguna dalam isu Palestin adalah dengan memboikot perniagaan yang menyumbang kepada ekonomi Israel dan tentera Zionis. Boikot adalah protes aman yang berkesan memberi tekanan kepada para kapitalis untuk memahami dan menerima sentimen umum masyarakat yang bencikan kezaliman dan ketidakadilan.

Di sinilah perlunya kita bangunkan pengguna sedar, pengguna yang memahami isu Palestin dari akar permasalahan dan sejarahnya. Tidak terkesan dengan naratif media berat sebelah dan memahami bahawa kebajikan terbaik untuk rakyat Palestin adalah pembebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Inilah pengguna sedar yang rasional serta memiliki rasa empati yang tinggi. Pengguna sedar adalah solusi kepada pelbagai salah faham terhadap usaha kempen boikot. Kempen boikot perlu ditujukan kepada semua perniagaan mahupun organisasi media serta pergerakan politik yang menyokong Israel dan melabel Hamas sebagai pengganas. Tidak terhad kepada syarikat dan organisasi luar negara sahaja, tetapi juga di dalam negara. Tidak sedikit ahli politik dan saluran media dalam Malaysia yang melabel Hamas sebagai entiti pengganas selain melabel pemakaian mereka sebagai keterlaluan dan kononnya ekstremis.

Berkesankah kempen boikot?

Kempen boikot mampu mengubah pendirian dan tindakan organisasi, khususnya syarikat perniagaan supaya bertindak selari dengan nilai masyarakat. Kempen boikot terawal direkodkan adalah pada 1971 terhadap syarikat-syarikat gula. Ia telah berjaya membebaskan industri tersebut dari isu perhambaan apabila gula dengan label ‘dihasilkan oleh orang bebas’ mula mendapat permintaan 10 kali ganda berbanding gula yang dihasilkan oleh syarikat yang masih mengamalkan perhambaan. Pendekatan kempen boikot juga berjaya menyelamatkan alam sekitar dari menjadi mangsa manipulasi kapitalis. Pelbagai kempen boikot anjuran Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), sebuah gerakan pembebasan, keadilan, dan kesamarataan Palestin telah berjaya memberi kesan kepada pelbagai syarikat untuk berhenti memberi sokongan kepada Zionis.

Peningkatan falsafah konsumerisme dipacu peningkatan ekonomi dan kepelbagaian budaya mengubah tabiat pembelian masyarakat yang semakin mengutamakan kemudahan dan kesetiaan jenama. Di sinilah cabaran kempen boikot, menilai keberkesanan kempen berdasarkan peratusan impak kewangan adalah penilaian yang lemah. Keberkesanan kempen boikot bukanlah kadar impak tekanan kepada entiti sasaran kempen tersebut. Sebaliknya kejayaan kempen boikot ini adalah pada kemampuan kawalan diri para pengguna dari pengaruh-pengaruh promosi, jenama, perniagaan untuk terus berpegang kepada prinsip. Prinsip perjuangan yang terbina dari rasa empati dan nilai persaudaraan serta kemanusiaan kepada warga Palestin. Kempen boikot adalah berkesan jika pengguna terus berdisiplin dalam perbelanjaan demi mencapai matlamat utama pembebasan Palestin. Pengguna yang menjaga perbelanjaan harian tanpa terikat dengan sebarang syarikat atau produk yang terkait kepada Israel – sama ada secara langsung atau menyatakan sokongan. Semoga masyarakat Malaysia terus menjadi antara bata-bata yang menyumbang kepada kemenangan Palestin melalui para tentera pengguna sedar.

Mohd Juraij Abd Rani
AJK Pusat, Persatuan Penyelidik Sumber Asli, Pertanian dan Alam Sekitar Malaysia (SALAM)
Pensyarah, Universiti Malaysia Perlis (Bidang Pemasaran)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button