Berita Utama

DAP sedang ‘test market’ dek usaha normalisasi ideologi sekular

Banyak isu dicetuskan yang menyebabkan kegusaran awam

BANGI, 21 Jamadilakhir 1445H, Rabu – Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ) meminta Kerajaan Madani tidak mengamalkan sikap pilih kasih terhadap ahli Parlimen mereka yang sentiasa menimbulkan kegusaran awam.

Ketua Pemuda DPPNJ, Ahmad Nawfal Mahfodz mengingatkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini ditahan jam 3 pagi berikutan ‘kenyataan berkaitan 3R’.

Justeru katanya, pimpinan Kerajaan Madani pun perlu dikenakan tindakan yang sama khususnya Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham susulan cadangannya melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

“DAP sekali lagi memanaskan gelanggang politik tanah air dengan cadangan dari salah seorang Ahli Parlimennya iaitu Ngeh Koo Ham.

“Sepanjang tahun ini sahaja terdapat banyak isu yang dicetuskan oleh DAP menyebabkan kegusaran awam.

“DPPNJ menegaskan bahawa DAP jangan bermain ‘test market’ dalam isu-isu sebegini dek kerana usaha normalisasi ideologi sekular yang dibawa oleh DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ngeh memaklumkan, dia langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam ketika membuat cadangan berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen dari parti DAP itu, beliau menjangkakan jawatankuasa tersebut akan terlibat dalam cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Disebabkan itu, beliau melontarkan cadangan berkenaan bertujuan memastikan semua pandangan diambil kira sebelum pindaan dibuat.

Nawfal berkata, DPPNJ menjunjung Sultan Selangor yang mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

“DPPNJ menyeru agar semua ahli Parlimen terutama pihak kerajaan untuk terus fokus terhadap memulihkan ekonomi Malaysia dan menjadikan Malaysia negara yang aman, makmur dan harmoni,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button