Berita UtamaDunia

Bennett mahu gandakan penduduk haram Yahudi di Bukit Golan

Rancangan Zionis bakal membelanjakan lebih AS$300 juta

TEL AVIV, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengumumkan bahawa negara haram itu berhasrat untuk menggandakan bilangan penduduk Yahudi di Bukit Golan yang diduduki.

“Inilah detik kita. Ini adalah saat di Bukit Golan,” kata Bennett pada mesyuarat khas Kabinet di Bukit Golan, semalam.

“Selepas bertahun-tahun yang panjang dan statik dari segi skop penyelesaian, matlamat kami hari ini adalah untuk menggandakan penempatan di Bukit Golan,” dakwanya.

Rancangan itu bakal membelanjakan lebih AS$300 juta bagi menggandakan jumlah penduduk haram Yahudi di Bukit Golan, 40 tahun selepas wilayah itu dirampas rejim Zionis dari Syria.

Israel menawan Bukit Golan dari Syria dalam perang Timur Tengah 1967 dan menggabungkannya pada 1981. Sebilangan besar masyarakat antarabangsa menganggap tindakan itu menyalahi undang-undang mengikut undang-undang antarabangsa.

Kira-kira 25,000 penduduk haram Israel tinggal di Bukit Golan, bersama-sama dengan kira-kira 23,000 komuniti Druze, yang kekal di tanah itu selepas dirampas oleh Israel.

Amerika Syarikat adalah negara pertama yang mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah itu.

Bennett berkata, perang di Syria menjadikan idea kawalan Israel ke atas wilayah itu lebih diterima oleh sekutu antarabangsanya.

Israel telah lama berhujah kononnya kawasan yang penting secara strategik itu, telah digabungkan sepenuhnya ke dalam Israel sejak ia ditawan dari Syria – dan kawalan ke atas dataran strategik itu diperlukan sebagai perlindungan daripada Iran dan sekutunya di Syria.

Bennett, yang mengetuai gabungan lapan parti yang berbeza ideologi, memerlukan kelulusan Kabinet sebelum rancangan boleh bergerak ke hadapan.

Bagaimanapun, mesyuarat Ahad ditangguhkan buat sementara waktu selepas anak perempuan Perdana Menteri berusia 14 tahun disahkan positif COVID-19, menyebabkan Bennett diasingkan, tetapi undian mengenai rancangan itu masih dinantikan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button