Berita Utama

COVID-19: 2,348 pulih hari ini, 970 kes baharu

Jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 46,501

PUTRAJAYA, 9 Rabiualkhir 1442H, Rabu – Malaysia mencatatkan 2,348 kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 hari ini, yang tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh 24 jam, sementara kes harian baharu menurun kepada tiga angka dengan 970 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 46,501 kes atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala jumlah kes positif 59,817 kes, dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,971 kes.

Menurutnya, Negeri Sembilan melaporkan kes harian tertinggi dengan 318 kes (32.8 peratus), diikuti Sabah (293 kes / 30.2 peratus) dan Selangor (115 kes / 11.9 peratus).

“Peningkatan kes di Negeri Sembilan banyak dipengaruhi kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Bakti yang melaporkan sebanyak 301 kes (94.7 peratus).

“Sebanyak 318 kes (32.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Bakti (301 kes), Kluster Tembok (12 kes), Kluster Matambai (tiga kes), Kluster Penjara Sandakan (satu kes), dan Kluster Penjara Reman (satu kes),” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 970 kes baharu hari ini, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 965 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Dr Noor Hisham berkata Perak mencatatkan 80 kes baharu, Kuala Lumpur (44), Johor (30), Pulau Pinang (14), Kedah (24), Kelantan (lapan), Labuan (37), Sarawak (dua kes), Pahang (dua kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Terengganu dan Putrajaya.

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurutnya terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 345 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Memperincikan perkara itu, beliau berkata kesemua mangsa adalah perempuan membabitkan seorang warganegara di Pulau Pinang, manakala tiga lagi bukan warganegara di Sabah (dua orang) dan Labuan (seorang). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button