Berita Utama

29 warga asing miliki MyKad palsu harga RM300

Dakwa beli kad pengenalan dengan ejen di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 7 Syaaban 1444H, Selasa – Operasi khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya menahan 29 pekerja asing yang kebanyakannya memiliki MyKad palsu didakwa dibeli dengan harga RM300 setiap seorang.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang diberi nama kod Ops Pintas itu dijalankan di kawasan perindustrian Puchong pada pagi Isnin (27 Februari), susulan maklumat daripada orang ramai.

“Penduduk di kawasan itu mengadu bahawa pekerja di kawasan perindustrian mempunyai kad pengenalan palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu, pegawai penguat kuasa memintas sebuah van yang membawa 14 orang.

Ruslin berkata, semakan mendapati 13 daripada mereka memiliki MyKad palsu manakala seorang mempunyai kad pengenalan orang lain, juga merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.

Kesemua 29 telah direman dan akan didakwa tidak lama lagi.

“Susulan tangkapan itu, pemeriksaan susulan membawa kepada penahanan 15 yang lain dengan MyKad palsu.

“Bagi mengelak ditangkap, ada yang cuba membuang MyKad palsu mereka tetapi pegawai kami berjaya menghalang mereka,” katanya.

Ruslin berkata, 29 suspek terdiri daripada tiga lelaki dan 26 wanita berusia antara 19 dan 70 tahun.

Beliau berkata, mereka berasal dari Indonesia dan telah membeli MyKad daripada ejen yang beroperasi di Lembah Klang.

“Mereka tidak dapat memberikan keterangan mengenai ejen itu kepada kami kerana mereka tidak pernah berjumpa. Selepas membuat ‘pesanan’ untuk kad pengenalan palsu, urusan penghantaran dibuat oleh seorang ‘runner’.

“Kami percaya ini adalah kerja sindiket yang telah beroperasi sejak sekian lama, berdasarkan tempoh mereka yang ditahan mempunyai MyKad palsu dalam simpanan mereka,” katanya.

Ada yang berkata mereka sudah memiliki MyKad palsu selama lima tahun manakala yang lain menerimanya bulan lepas, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button