Berita Utama

Trend pelajar lepasan SPM tolak masuk IPTA membimbangkan

Kerancakan ekonomi gig ubah cara golongan muda berfikir untuk jana pendapatan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 12 Rabiulawal 1445H, Khamis – Trend penolakan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) yang tinggi sepatutnya membimbangkan banyak pihak berikutan keadaan itu bakal memberi kesan kepada masa depan negara.

Terdahulu, dilaporkan sejumlah 188,884 atau 51 peratus daripada 365,553 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menolak tawaran ke IPTA.

Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, meskipun sehingga kini belum dapat disimpulkan secara pasti mengenai punca penolakan, beberapa faktor terbukti menyumbang kepada situasi tersebut.

“Secara umum, saya bersyukur kerana sebahagian penulis yang mengulas isu ini menyimpulkan ‘tidak minat belajar’ dalam kalangan pelajar bukan faktor utama ke arah itu.

“Sebaliknya ada faktor luaran lain yang membawa kepada penolakan tawaran ke IPTA tersebut termasuklah ketidakmampuan membiayai kos pengajian dan sara hidup sepanjang tempoh di kampus.

“Selain keadaan ekonomi tidak baik bagi sebahagian besar keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kurangnya peluang pekerjaan dalam bidang tertentu juga menjadi antara faktor pelajar lepasan SPM kurang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau sebelum ini, kesukaran mencari kerja bagi graduan bio teknologi atau aeroangkasa atau lepasan usuluddin sahaja.

“Namun sekarang bidang kejuruteraan dan bidang perubatan pun tidak menjanjikan peluang pekerjaan kepada graduan sebanyak seperti sebelum ini.

“Berapa ramai graduan perubatan yang memilih untuk menjadi ‘designer’ dan berapa ramai juga graduan bio teknologi yang membuka tadika,” katanya.

Bukan itu sahaja, kerancakan ekonomi gig yang semakin berkembang dari 2008 di seluruh dunia juga mempengaruhi golongan muda dan mungkin mengubah cara mereka berfikir untuk menjana pendapatan.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, dahulu sekitar tahun 80-an anak-anak kampung selalu digalakkan untuk belajar dengan rajin untukm mendapat pendapatan dan pekerjaan yang baik.

Namun, hari ini kempen seumpama itu ‘tidak lagi laku’ dalam kalangan pelajar, katanya.

“Ini kerana mereka melihat menjana pendapatan kini boleh diperoleh melalui menjadi pemandu Grab, menjadi ‘YouTuber’ atau ‘TikToker’ atau ‘freelance designer’ dan sebagainya.

“Justeru mereka menganggap belajar di kampus hanya membebankan sedangkan tujuannya sekadar untuk dapat pekerjaan yang baik,” katanya.

Tambahan lagi, lambakan mesej negatif sama ada di media sosial atau di radio dan televisyen juga turut mempengaruhi golongan muda berfikir tentang kehidupan di kampus.

“Kalau kita kumpulkan empat jam mesej dari radio television dan mengumpulkan beberapa mesej yang menjadi tumpuan dan buah mulut hari ini di dalam media sosial (trending orang kata), kita akan dengan mudah dapat melihat betapa rendahnya nilai mesej itu (jika kita tidak sampai hati untuk kata negatif).

“Setiap hari diasak dengan mesej seumpama itu, adakah kita menjangkakan generasi muda kita akan ada wawasan hidup yang jelas, jiwa yang kental dan pemikiran yang tajam? Itulah yang berlaku setiap hari sekarang,” katanya.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, tidak salah untuk menjana pendapatan dengan menjadi pempengaruh media sosial tetapi itu semua hanyalah wasilah sahaja.

Beliau berpandangan, golongan muda sewajarnya mengambil peluang untuk belajar setinggi yang mampu kerana itu yang akan menentukan masa depan diri dan juga negara.

“Khairul Aming contoh terbaik dalam isu ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button