Artikel KhasBerita Utama

Kenyataan media Aman Palestin: SPRM mesti berintegriti

SPRM mesti bertindak adil dalam siasatan, perlu jawab beberapa persoalan


1. UMUM sedia maklum Aman Palestin dan ahli-ahli lembaga pengarah Aman Palestin kini sedang disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Untuk makluman semua, kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin adalah pada 17.10.2023. Tiada serbuan atau tangkapan dibuat pada ketika itu. Penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23.11.2023.

3. Malah, sebaliknya kerjasama yang baik diberikan oleh Aman Palestin mulai tarikh 17.10.2023 sehingga sekarang. Kesemua dokumen yang diminta juga diserahkan salinan masing-masing. Sehingga kini Aman Palestin telah mengeluarkan kos fotokopi dokumen-dokumen berkenaan sebanyak hampir RM 12,000.00.

4. Dari 17.10.2023 sehingga hari ini sebanyak 3 orang staf, CEO dan 5 orang ahli lembaga pengarah telah dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya. Kesemua staf, CEO dan ahli lembaga pengarah hadir tanpa mengelak atau memberi sebarang sebab ketidakhadiran.

5. Aman Palestin juga ingin mengesahkan bahawa sebanyak 41 akaun telah dibekukan oleh SPRM kerana siasatan ini di bawah peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001. 41 akaun tersebut adalah bukan semuanya milik Aman Palestin tetapi milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun-akaun ahli lembaga pengarah dan kakitangan.

6. Sehingga hari ini juga, aset-aset telah dibekukan berupa 12 bidang tanah, 4 bangunan, 4 buah kereta termasuk RM15,868,762.00 yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia. Kesemua aset ini semata-mata untuk pelaburan yang dibenarkan di bawah memorandum dan artikel Aman Palestin bertujuan semata-mata bagi mempertingkatkan kebolehan Aman Palestin memberi bantuan kemanusiaan dan bukanlah bagi tujuan peribadi ahli lembaga pengarah Aman Palestin. Kesemua aset ini diperoleh dengan hasil yang halal dan bukan daripada sumber yang haram.

7. Aman Palestin mempunyai 5 orang Ahli Lembaga Pengarah dan masing-masing merupakan pemegang amanah kepada segala sumbangan yang diterima oleh Aman Palestin. Ahli Lembaga Pengarah mentadbir Aman Palestin melalui Memorandum & Artikel Aman Palestin. Salinan penuh Klausa 3 Memorandum & Artikel Aman Palestin dilampirkan untuk paparan media serta masyarakat.

8. Aman Palestin mempunyai kuasa antara lainnya menggunakan dana-dana yang dikutip dan melaburkan dalam pelbagai pelaburan patuh syariah serta patuh undang-undang. Keuntungan pelaburan ini digunakan bagi mencapai matlamat Aman Palestin membantu Palestin, Lubnan, Syria, Yaman dan umat-umat lain yang tertindas, kerja-kerja kemasyarakatan serta apa-apa sahaja matlamat Aman Palestin.

9. Siasatan SPRM telah bermula pada 17.10.2023, namun sehingga ke hari ini tiada satu pun rampasan atau paparan rampasan barang-barang kes seperti mana kes-kes lain melibatkan penyelewengan wang atau hasil aktiviti haram seperti kereta-kereta mewah, timbunan wang-wang pelbagai denominasi, barang-barang kemas ataupun harta-harta rampasan lain.

10. Kenyataan media pihak SPRM bertarikh 23.11.2023 pada perenggan ke-3, jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin. Ianya seolah-olah telah menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta (yang dinafikan). Kenyataan-kenyataan SPRM berkait dengan kes ini ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai, dan tidak berintegriti.

11. SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan. Sebagai penyiasat, SPRM mestilah bertindak adil dalam siasatan. SPRM tiada kuasa menghukum. Itu tugas dan bidang kuasa sistem kehakiman di mahkamah.

12. Tindakan SPRM yang mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa sebegini rupa tanpa membuat amaran kepada masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi, telah menimbulkan pelbagai tohmahan dan fitnah serta menyuburkan persepsi negatif seolah-olah berkomplot dengan pengamal media sosial yang tidak bertanggungjawab. Ini membawa impak besar terhadap Aman Palestin, ahli lembaga pengarahnya serta keluarga mereka.

13. Sehingga kini pelbagai fitnah dilempar terhadap Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya. Sedangkan ianya langsung tidak benar sama sekali. Segala dana serta kutipan diurus dan dikembangkan sebaik mungkin sebelum disalurkan kepada pihak-pihak berkepentingan bertepatan dengan tujuan Aman Palestin ditubuhkan.

14. Kenyataan Media SPRM yang tidak menjelaskan sepenuhnya 41 akaun yang dibekukan telah membawa fitnah jahat bahawa Aman Palestin mempunyai banyak akaun bank, sedangkan hanya 11 akaun Aman Palestin yang digunakan bagi memudahkan penyumbang dan penderma. Ini merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh NGO dan pertubuhan kemanusiaan lain.

15. Tindakan SPRM semenjak kenyataan media bertarikh 23.11.2023 sehingga sekarang dengan pembocoran maklumat-maklumat siasatan (yang dinafikan dakwaan- dakwaan itu) merupakan satu komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter (character assasination) Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya.

16. Perdana Menteri antara individu yang sentiasa menyatakan keperluan untuk membantu mereka yang dizalimi dan tertindas khususnya masyarakat tidak berdosa di Palestin. “Genosid. Pembersihan etnik. Jenayah Perang”, kata beliau. Tetapi di saat Aman Palestin ingin menghantar bantuan penuh berharga pada permulaan musim sejuk kepada Palestin, Syria, Lubnan, Yaman dan kawasan-kawasan terjejas sekelilingnya, yang dianggarkan RM10 juta, akaun Aman Palestin dibekukan.

17. SPRM perlu menjawab semua persoalan ini. Mengapakah akaun kutipan dana untuk bantuan kemanusian dibekukan? Mengapakah tindakan ini diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan semasa gencatan senjata diisytiharkan? Bagaimanakah wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?

18. Aman Palestin pada hari ini (27 November 2023) telah mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian AMLA SPRM memberi notis di bawah Seksyen 44A AMLATFAPUAA 2021 untuk perintah pembekuan ini dibatalkan dan/ atau diubah. Aman Palestin kini memberi tempoh sebanyak tiga (3) hari untuk penyahbekuan akaun. Sekiranya gagal, tindakan perundangan sepatutnya dan suaimanfaat akan diambil.

19. Aman Palestin juga menggesa Ahli-ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat sama ada Kerajaan ataupun Pembangkang. Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat. Kerajaan mesti menjelaskan mengapakah agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

20. Hakikatnya rakyat Palestin sedang menunggu-nunggu bantuan kemanusian Aman Palestin. Masyarakat Malaysia dan dunia antarabangsa akan ‘kehilangan’ sebuah NGO yang telah banyak membantu selama 18 tahun dalam bidang kemanusiaan. Sepanjang tempoh tersebut, Aman Palestin telah berjaya mengharumkan Malaysia di mata dunia dan juga mendapat pengiktirafan serta penghargaan daripada seluruh rakyat Palestin.

21. Kita berharap daripada tindakan kita ini, kita dapat mengembalikan semula Aman Palestin supaya dapat beroperasi seperti biasa bagi meneruskan perjuangan isu-isu di Palestin dan seterusnya menjadi wadah untuk membebaskan Palestin dan Baitulmaqdis daripada rejim Zionis Israel dan sekutunya.

22. Kita menyeru rakyat Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan fitnah-fitnah jahat terhadap Aman Palestin dan seterusnya sentiasa kekal bersama dengan Aman Palestin bagi menyemarakkan perjuangan yang suci ini apatahlagi ketika mana Gaza sedang diserang.

Peguam Aman Palestin Berhad
27 November 2023

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button