Berita Utama

Peniaga berdepan tindakan jika letak syarat beli gula

Terima aduan jualan bekalan gula melebihi harga kawalan

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Peniaga yang sengaja mengenakan harga gula melebihi harga kawalan, menyorok bekalan atau meletakkan syarat pembelian bakal berdepan tindakan serta-merta termasuk disenarai hitam lesen perniagaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas, termasuk mereka yang menjual gula putih bertapis kasar secara bersyarat atau gula jernih.

“Kita ada terima aduan kononnya peniaga kata boleh beli dua pek gula subsidi dengan syarat beli satu kilogram gula premium tidak bersubsidi.

“Itu pun satu kesalahan yang dilanggar dalam syarat lesen dikeluarkan itu,” katanya.

Justeru, bagi mengekang tindakan berkenaan Ops Manis yang dilancarkan bermula 3 Mei lalu sehingga kelmarin membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah, akan dilanjut sehingga 30 Jun ini serta diperluas ke seluruh negara.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sehingga kini pihaknya menerima tujuh kes membabitkan jualan bekalan gula melebihi harga kawalan.

Katanya, apabila berlaku pelanggaran di mana-mana tempat, kedai atau daerah, katanya, KPDN akan mengeluarkan arahan digantung lesen dan disenarai hitam serta-merta.

Sehingga kelmarin, sebanyak 2,576 premis perniagaan diperiksa oleh anggota penguat kuasa KPDN dan sejumlah 60 aduan diterima merangkumi isu gula.

“Secara keseluruhannya, bekalan gula di pasaran tidak kritikal, masih mencukupi dan stabil serta berupaya menampung permintaan semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button