Berita Utama

4 MP Sabah keluar Bersatu bakal kena tindakan

Muhyiddin kecewa Hajiji, pengikut umum keluar parti

BANGI, 16 Jamadilawal 1444H, Ahad – Kedudukan empat ahli Parlimen Bersatu, yang bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan ditentukan berdasarkan undang-undang antilompat parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu akan diambil mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun bekas Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti, beliau menegaskan, Bersatu negeri Sabah kekal wujud dan berfungsi.

Katanya, Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan Bersatu di Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah lalu.

“Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik Ketua Badan Pimpinan negeri Bersatu Sabah serta Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Sabah.

Katanya, Ronald bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu dan PN Sabah sehingga penyusunan semula parti di negeri itu diputuskan oleh MPT Bersatu dan Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam parti yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berserta pemimpin Bersatu Sabah memutuskan untuk meninggalkan parti itu, namun terus kekal di bawah GRS.

Ia selepas mereka menyertai Kerajaan Perpaduan menerusi GRS bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (WARISAN).

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, keputusan dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button