Berita Utama

Hua Zong gesa GRS letak wakil Cina dalam Kabinet Sabah

Pembentukan kerajaan bertentang dengan senario politik sebelum

BANGI, 12 Safar 1442H, Rabu – Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menggesa kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina untuk diletakkan ke dalam Kabinet negeri.

Presidennya, Tan Sri TC Goh berkata, perkara itu wajar dan perlu dilakukan supaya Kabinet negeri mempunyai perwakilan berbilang kaum, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan ke atas masyarakat Cina.

Memetik laman Facebook Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong), beliau memberi alasan bahawa ADUN dari kaum Cina hanya mewakili kem pembangkang, manakala tiada ADUN dari kaum sama mewakili pemerintah, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu lalu.

“Kerajaan negeri GRS tidak boleh mengabaikan suara masyarakat Cina yang merupakan kumpulan etnik kedua terbesar di negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Goh berkata, pihaknya yakin dan berharap kerajaan negeri mengkaji semula aspek itu dan menggunakan kebijaksanaan kolektif untuk memenangi hati serta fikiran masyarakat Cina, dan bukannya memberi mereka ‘rawatan dingin’.

Goh yang juga Presiden Hua Zong berkata demikian bagi menyatakan kebimbangannya terhadap ketiadaan wakil kaum Cina dalam kerajaan gabungan GRS serta boleh mengakibatkan masyarakat Cina diabaikan selepas ini.

Beliau berkata, kesemua 10 calon Cina yang ditandingi oleh GRS dan parti politik lain seperti Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) telah kalah dalam PRN lalu.

Sementara itu, Goh berkata, sembilan calon yang berjaya dalam PRN sama adalah dari DAP (tiga calon), Warisan (dua calon) dan PKR (seorang calon).

Tegasnya, pembentukan kerajaan baharu ini jelas bertentangan dengan senario politik sebelumnya, di mana wakil rakyat Cina adalah sebahagian daripada pemerintah di negeri itu.

Justeru, katanya setelah Ketua Menteri baharu dilantik dan pemerintahan negeri dibentuk, beliau memohon ketentuan relevan di bawah Perlembagaan negeri untuk mencalonkan enam ADUN yang lain.

Beliau berharap kerajaan negeri secara serius mempertimbangkan untuk mencalonkan individu yang berkelayakan dan berkemampuan dari kaum Cina, selain menyenaraikan mereka ke dalam Kabinet negeri, supaya dapat mewakili masyarakat Cina.

Selain itu, Goh juga meminta parti politik dari kedua-dua pihak menghormati keputusan dan mandat rakyat Sabah dalam PRN baru-baru ini, selain merenung kembali keputusan itu serta berusaha untuk memperbaiki kekurangan dan meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Ini adalah sikap dan kemurahan hati yang benar yang harus dimiliki oleh seorang ahli politik yang sebenar dan dihormati,” tegasnya.

Beliau juga berpendapat bahawa kerajaan negeri baharu dapat menggunakan mandat yang diberi dengan baik bagi membangunkan Sabah menjadi negeri progresif dan makmur.

“Demikian juga, pemerintah negeri harus mengetepikan perbezaan politik, menghormati, menerima pandangan dan cadangan yang membina dari wakil rakyat pembangkang, agar semua orang dapat bekerjasama sebagai sebuah pasukan yang hebat untuk kepentingan negara dan rakyatnya,” katanya.

PAUTAN BERKAITAN: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10157429983837256&id=180155402255

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button