Berita Utama

Khairy mahu bertahan di Sungai Buloh hingga menang

Tak adil pada pengundi jika datang sebagai calon bidan terjun

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1444H, Isnin — Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memindahkan keahliannya di dalam UMNO dari Rembau ke Sungai Buloh, tempat beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam video TikTok yang disiarkan di akaun Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, bekas Menteri Kesihatan itu mengumumkan pada satu majlis di Sungai Buloh bahawa namanya dalam sistem keahlian UMNO kini diletakkan di bawah lokasi itu.

“Apa yang penting, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya datang ke sini bukan sahaja untuk bersaing (dalam PRU15) dan saya tidak akan kalah dan hilang — tidak.

“Saya akan kekal di sini sehingga kita memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Khairy melabelkan dirinya sebagai seorang yang ‘perfectionist’, sambil mengatakan bahawa apabila kalah, beliau adalah jenis yang akan terus bertahan sehingga menang.

“Adalah juga tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan bahawa saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun, calon saat akhir, calon berprofil tinggi, dan selepas tidak menang saya pusing dan mencari tempat lain,” katanya.

Khairy berkata, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Ketua UMNO bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz dan Timbalan, Datuk Harrison Hassan yang disifatkan sebagai rakannya.

“Mengenai isu pemilihan (calon untuk pilihan raya umum akan datang), kita akan berbincang sebagai adik-beradik apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau menyatakan keyakinannya bahawa Sungai Buloh akhirnya boleh menjadi kubu kuat BN.

“Jika kita sentiasa selesa, sentiasa menang, tidak perlu berdepan cabaran, maka kita tidak boleh menjadi pejuang yang hebat.

“Saya rasa kita boleh jadikan Sungai Buloh sebagai kubu kuat BN, insya-Allah,” katanya.

Pada PRU15, Khairy kalah kerusi Parlimen Sungai Buloh kepada calon Pakatan Harapan, Datuk R. Ramanan dengan perbezaan tipis of 2,693 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button