Berita Utama

Beri peluang GTA tadbir negara

Gerakan Tanah Air akan tampilkan calon-calon wibawa

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri hari ini dilihat tidak rasional di saat rakyat berdepan pelbagai masalah.

Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Datuk Nizam Mahshar yakin faktor utama pembubaran Parlimen dipercepatkan kerana kes-kes mahkamah yang berlaku.

“Jadi kita faham ketakutan daripada pelbagai kelompok ahli-ahli politik ini.

“Ini cara mereka untuk kekalkan kuasa, namun bagi kita tidak wajar kerana pelbagai masalah belum selesai termasuk masalah banjir dan sebagainya.

“Kita ingat kerajaan hari ini rasional dan dan memikirkan rakyat, namun malang sekali kerajaan buat keputusan tidak rasional dan membubarkan Parlimen dalam keadaan terburu-buru,“ katanya dalam sidang media sempena Pelancaran Gagasan Bangsa, di sini hari ini.

Atas dasar itu, beliau menggesa rakyat yang sayangkan tanah air supaya mengubah pendirian dan memberi peluang kepada GTA untuk membetulkan keadaaan.

“Kita kini berusaha untuk menggerakkan kumpulan bukan parti dengan meletakkan calon-calon GTA sebagai alternatif politik Melayu,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15, beliau berkata, GTA akan meletakkan calon-calon yang berwibawa dan yang dipersetujui kepimpinan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Katanya, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Proses ini berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai pasak pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan, kata Ismail Sabri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button