Berita Utama

Tuan Ibrahim nafi kenyataan seolah sokong keputusan pembebasan Zahid

'Hormati keputusan mahkamah beza dengan pendakwaan tak diteruskan'

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud menyokong keputusan pembebasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Justeru, beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan sebuah poster dan laporan laman blog MH Daily, mengaitkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

“Saya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud menyokong keputusan pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini.

“Perlu ditegaskan bahawa menghormati keputusan mahkmah adalah berbeza dengan isu pendakwa raya yang tidak meneruskan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menggesa pihak yang menularkan kenyataan berkenaan supaya segera menghentikan tindakan tersebut.

Terdahulu, poster dan laporan tular itu mendakwa bahawa PAS menggesa masyarakat supaya menghormati keputusan mahkamah membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, selepas 77 hari dibicarakan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, 70, menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button