Berita Utama

210,000 miskin tegar terima bantuan SARA mulai esok

Pelaksanaan dibuat bermula 17 Julai bagi penerima daripada Semenanjung

BANGI, 27 Zulhijjah 1444H, Ahad – Lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM600 bermula esok bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM130 juta di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.

“Oleh itu, dengan sumbangan yang diberikan ini dapatlah menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan SARA akan dibuat mulai 17 Julai 2023 bagi penerima daripada Semenanjung, manakala penerima Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 7 Ogos 2023.

Berdasarkan jadual dikeluarkan, penerima di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan menerima pembayaran SARA pada Isnin.

Manakala, mereka di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula pada 31 Julai 2023.

Kaedah pelaksanaan SARA di negeri terbabit ialah penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai-Disember 2023).

Ia dibuat secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima bagi pembelian di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara.

Sementara itu, penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan mendapat bantuan SARA pada 7 Ogos 2023.

“Bayaran RM600 sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” katanya.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui https://www.mykasih.com.my.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button