Berita Utama

Lelaki balik umrah kes pertama Omicron di Sabah

Lelaki itu menunaikan umrah pada 9 Disember lalu

KOTA KINABALU, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Seorang lelaki tempatan yang tiba di negara ini pada 19 Disember lepas selepas menunaikan umrah, merupakan kes positif pertama COVID-19 varian Omicron dikesan di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata lelaki berkenaan bersama isterinya menunaikan umrah pada 9 Disember hingga 18 Disember lepas dan kembali ke Malaysia pada 19 Disember melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata pesakit bersama isterinya itu tiba di Tawau pada 20 Disember dan diarah menjalani kuarantin di rumah, namun keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan pada 4 Januari lepas menunjukkan lelaki tersebut positif varian Omicron.

“Semasa disahkan positif COVID-19, suami pada Kategori 2 manakala isterinya Kategori 1. Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari lepas dan telah pulih daripada jangkitan virus COVID-19.

“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami, dikesan positif COVID-19 pada 24 Disember, namun penjujukan genom keseluruhan untuk isterinya masih dalam ujian,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suami isteri itu telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 pada Jun tahun lepas dan pada masa ini kedua-duanya dalam keadaan sihat.

Mengulas kes COVID-19 di Sabah, Masidi berkata kes direkodkan hari ini meningkat kepada 280 kes berbanding 258 kes semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button