Berita Utama

Pahang halalkan kebun haram? Rata-rata pekebun setuju

Tolak kehadiran pihak korporat, pekebun mulakan semakan kehakiman

BANGI, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Kumpulan pekebun haram di Raub mendakwa, kerajaan Pahang sudah menyediakan pelan bagi menghalalkan tanah yang mereka terokai di negeri itu.

Save Musang King Alliance (SAMKA) mendakwa, rata-rata pekebun bersetuju dengan pelan tersebut, bagaimanapun menolak kehadiran pihak ketiga yang dituduh cuba mengaut keuntungan secara melampau.

Sehubungan itu, berbekalkan tekad untuk melindungi ‘empayar durian’ di Raub supaya terus berkembang maju, para pekebun telah memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri yang memberi hak penggunaan tanah kepada korporat besar.

Semakan kehakiman itu disertai lebih daripada 200 pekebun dari enam buah kampung yang melaksanakan tanaman durian secara komersial di Raub.

Selain itu, SAMKA mendesak supaya rancangan korporat yang kononnya merampas dan meraih keuntungan daripada hasil kerja pekebun perlu dihentikan.

SAMKA turut mendakwa, aktiviti penanaman durian oleh pekebun di keenam-enam buah kampung itu mula dijalankan sejak tahun 1960-an, manakala pada 1970-an mereka mengusahakan tanah itu di bawah rancangan ‘Buku Hijau’ kerajaan.

“Pelan ini tidak harus dilaksanakan melalui pihak ketiga yang menggunakan cara ‘rent-seeking’ dan mengaut keuntungan yang melampau dengan menzalimi hak dan kepentingan pekebun serta merampas hasil usaha pekebun.

“Selama ini, mereka juga pernah memohon permit atau pun lesen penanaman terhadap kerajaan negeri melalui saluran rasmi.

“Bagaimanapun, sebahagian besar permohonan tersebut ditolak,” dakwanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, semalam.

Facebook SAMKA sebelum ini pernah dinyah aktif selepas memuat naik kenyataan tentang hasrat kerajaan Pahang untuk melaksanakan program pemutihan pekebun haram durian di Raub yang dikritik hebat netizen.

Dalam kenyataan sama, SAMKA berkata, pekebun dari kumpulan pertama telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan pada 21 Ogos lalu bagi mencabar keputusan kerajaan negeri Pahang.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kuantan akan membuat keputusan pada 28 Oktober 2020 atas permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman.

“Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos 2020 telah memerintahkan bahawa segala bentuk operasi penguatkuasaan dan pengusiran terhadap pekebun durian tersebut harus ditangguhkan. Pekebun durian mampu bekerja seperti biasa dalam dua bulan ini,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi kumpulan pekebun kedua, mahkamah akan membuat keputusan pada 17 November 2020 bagi permohonan sama.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang memulakan tindakan tegas ke atas pekebun durian di Raub yang mengusahakan tanaman secara haram di kawasan tanah bukan milik mereka.

Tindakan dilakukan selepas kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

PAUTAN BERKAITAN: https://www.facebook.com/110522647436048/posts/135945378227108/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button