Berita Utama

BERJASA kemuka pemimpin bersih, bebas rasuah

Negara masih belum tandus barisan pemimpin berwibawa

BANGI, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Masih belum terlambat untuk rakyat memulihkan kembali imej Malaysia sebagai negara Islam daripada diperintah pemimpin yang terpalit salah laku dan rasuah.

Ini kerana, negara belum ketandusan pemimpin yang berwibawa dan sedar akan tanggungjawab mereka dalam memastikan pemerintahan tidak bertentangan syariat agama Islam.

Oleh itu, parti BERJASA menawarkan kepimpinan baharu yang bersih daripada salah laku rasuah, selain berazam untuk membina imej baharu kepada pentas politik Malaysia.

Ketua Wanita BERJASA Pahang, Dr Rashidah Abd Rahman berkata, harapan untuk memulihkan kembali imej negara melalui pimpinan baharu yang berwibawa masih wujud melalui BERJASA.

“Hakikatnya, bukan nak pilih pasangan hidup sahaja perlu pilih yang baik agamanya, nak pilih pemimpin juga perlu guna neraca yang sama.

“Agama Islam seharusnya menjadi benteng utama dalam menjaga diri seseorang dari memberi dan menerima rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Rashidah mengaku kecewa terhadap pendedahan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berhubung indeks rasuah di Malaysia berdasarkan kes pemimpin kanan politik negara terus meningkat dan berada dalam paras bahaya.

“Ia satu yang menyedihkan buat sebuah negara Islam seperti Malaysia. Rasuah adalah maksiat yang bertentangan dalam syariat yang jelas dilaknat oleh Allah.

“Saya tertarik dengan kata-kata Imam Al Ghazali, ‘kuasa dan agama adalah pasangan kembar. Agama adalah asas, kuasa adalah pelindungnya. Justeru, sesuatu yang tidak mempunyai asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak memiliki pelindung akan sia-sia’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button