Berita Utama

Idea semarakkan wakaf masih dipandang sepi, hanya 13 peratus tanah dimajukan

Kurang dana, tiada peruntukan jelas punca tanah wakaf tak dibangunkan

BANGI, 3 Ramadan 1444H, Sabtu – Wakaf ialah senjata umat Islam yang sudah ‘berkarat’ dan tentunya perlu diasah dan dipertajamkan semula, kata Prof Dr Ismail Omar.

Naib Canselor, Universiti Geomatika Malaysia dan Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) itu berkata, senjata antik ini tidak sepatutnya dilupai dan dibiarkan begitu sahaja, tatkala ekonomi negara perlu dipulihkan dengan apa sahaja cara yang ada.

Namun, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keperluan memajukan dan menyemarakkan wakaf masih dipandang sepi seolah-olah tidak memahami kepentingan senjata wakaf ini. 

Sedangkan, langkah untuk memastikan senjata ekonomi umat Islam ini perlu diasah dan dipertajamkan semula selepas Perdana Menteri mengumumkan dana RM1 bilion dan mengulangi penegasan terhadap kepentingan wakaf.

“Wakaf Madani sebaik-baiknya dikendalikan modal insan benar-benar memahami erti wakaf dan ditadbir secara profesional. Pengalaman dan kefahaman paling utama. 

“Dengan keseluruhan saiz tanah wakaf di seluruh negara pada 2017 seluas 30,000 hektar, modal insan yang ada tidak cukup untuk memajukan tanah berkenaan,” katanya dalam artikel disiarkan BH Online, hari ini.

Beliau berkata, kajian dijalankan Yayasan Waqaf Malaysia pada 2013 mendapati hanya kira-kira 13 peratus sahaja tanah wakaf dimajukan dengan pelbagai bangunan, manakala selebihnya masih lagi mundur dan tidak diusahakan.

“Punca tanah wakaf mundur termasuk ketiadaan peruntukan jelas dalam Undang-undang Pentadbiran Wakaf, selain faktor kekurangan dana yang boleh disuntik bagi memajukan tanah wakaf. Di sini, Wakaf Madani mampu berperanan memajukan tanah wakaf,” katanya.

Jelasnya, wakaf bukanlah semata-mata mengenai ilmu pengetahuan keagamaan, malah boleh diamalkan dalam aspek amalan ekonomi, perniagaan dan pendidikan.

Prof Ismail berkata, terdapat banyak bentuk mawquf dimajukan di seluruh dunia antaranya bangunan pejabat, ladang, perdagangan, hospital, masjid, jambatan, pasar awam, sekolah dan tali air. 

Dalam konteks ini, Wakaf Madani berkaitan dengan jenis ‘wakaf istithmar’ bagi memajukan tanah wakaf boleh digunakan untuk mendanai projek pembangunan hartanah, katanya.  

“Sebagai contoh, apabila tanah wakaf dikenal pasti dan dana disalurkan, Kelulusan Merancang (KM) diperoleh bagi memajukan tanah berkenaan.

“Dengan kelulusan ini, bermakna segala keperluan dan masalah berkaitan urusan tanah seperti faraid dan pusaka sudah selesai. Jadi nilai hartanah akan naik berganda. Ini bermakna pengganda ekonomi berperanan dalam memajukan ekonomi pemilik tanah berkenaan.

“Kemudian, tanah dan bangunan berkenaan boleh diwakafkan. Tanah Pribumi dan Tanah Rizab Melayu boleh juga dimajukan dengan cara sama serta dijadikan tanah wakaf kemudiannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button