Berita Utama

‘Bolehkah pemimpin PAS jadi PM’

Sudah berabad perintah Kelantan, masalah air tak selesai juga

BANGI, 9 Zulkaedah 1444H, Isnin – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa tindakan PAS mempertikaikan tawaran kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, seolah-olah parti itu mahu memegang jawatan Perdana Menteri.

Meskipun tidak menafikan PAS mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Parlimen berbanding PKR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu seolah meragui kebolehan pemimpin PAS untuk memegang jawatan tertinggi berkenaan.

“Menurut Hadi Awang, PAS boleh sertai Kerajaan Perpaduan asalkan PAS diberikan kelebihan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.

“Maksudnya PAS mahu jawatan PM (perdana menteri). Memang dari segi logik politik, PAS dapat jawatan PM. PAS ada 43 kerusi berbanding PKR 30 kerusi.

“Mana boleh PAS jadi ‘kepala ular yang dikecilkan’. Tetapi bolehkah pemimpin PAS jadi PM,” katanya dalam hantaran dimuat naik di Facebook, hari ini.

Puad secara sinis turut mendakwa kepimpinan PAS dalam memerintah Kelantan juga tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air sehingga kini.

“Di Kelantan sudah berabad PAS memerintah. Masalah bekalan air tidak selesai juga.

“Bagi pula bonus kepada staf AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd). Tidak sensitif langsung,” sindirnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Abdul Hadi bahawa pernah dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Dakwanya, tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu dipetik mempersoalkan tawaran berkenaan kerana tidak memberi kelebihan kepada PAS yang mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button