Berita Utama

Bukti PN terima dana syarikat judi terletak pada Anwar

Sanusi minta PM kemuka bukti jika buat suatu tuduhan

BANGI, 9 Zulkaedah 1444H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti terhadap dakwaan bahawa gabungan itu menerima dana kempen pilihan raya daripada syarikat judi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebagai pihak yang menuduh, beban bukti terletak kepada Anwar untuk mengesahkan dakwaannya itu.

“Bukan saya mencabar, saya kata dari sudut perundangan, beban bukti terletak kepada pihak yang menuduh.

“Jadi sila kemukakan bukti jika sesuatu tuduhan dibuat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Anwar mempertahankan kenyataannya bahawa sebahagian dana PRU dimiliki PN yang juga parti Melayu dan Islam, diperoleh hasil syarikat perjudian.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, beliau tidak akan membuat sebarang dakwaan tanpa asas.

Kenyataan Anwar itu susulan mengulas tuntutan permohonan maaf Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tuduhan gabungan itu mengambil wang daripada syarikat perjudian untuk membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tuntutan itu berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh Anwar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button