Dunia

Erdogan kecam tindakan keji polis Israel

Turkiye akan terus bersama dengan seluruh rakyat Palestin

TEBING BARAT, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan serangan rejim Israel ke atas jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa sebagai tindakan melampau.

Beliau dengan tegas menggesa negara haram Israel menghentikan segala keganasan dan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

“Pencerobohan dan ancaman terhadap kesucian serta kepentingan sejarah Masjid Al-Aqsa, termasuk kebebasan beragama bagi rakyat Palestin perlu dihentikan.

“Kami akan terus bersama dengan saudara di Palestin dalam apa jua keadaan. Israel harus tahu perkara ini,” kata Erdogan.

Kenyataan itu dibuat selepas ketegangan semakin memuncak apabila polis Israel menahan kira-kira 350 jemaah yang berada di dalam kompleks Masjid al-Aqsa.

Sekumpulan rakyat Palestin menyembunyikan diri di dalam ruang solat Al-Qibli, Masjid Al-Aqsa setelah penceroboh haram Israel memanggil pihak polis untuk melakukan serbuan.

Jemaah cuba menghalang polis Israel daripada memasuki masjid Al-Aqsa dengan menutup semua pintu.

Bagaimanapun, polis Israel bertindak ganas naik ke bumbung, memecahkan tingkap, serta menggunakan bom bunyi terhadap jemaah di dalam masjid.

Dilaporkan, beberapa jemaah Palestin cuba menentang polis dengan membaling bunga api. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button