Berita UtamaDunia

Hungary enggan tergesa-gesa ratifikasi Sweden sertai NATO

Dakwa Sweden buat ‘pembohongan' mengenai keadaan demokrasi Hungary

BUDAPEST, 10 Rabiulawal 1445H, Selasa – Hungary menegaskan negaranya tidak mahu tergesa-gesa meratifikasi usaha Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pihaknya menjangkakan negara Nordik itu akan berdepan kelewatan untuk menjadi anggota NATO.

Perdana Menteri, Viktor Orban ketika membuka sesi Parlimen sempena musim luruh berkata, tiada ancaman keselamatan Sweden sehingga menyebabkan Hungary perlu tergesa-gesa untuk mengesahkan penyertaan NATO.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pegawai tinggi Hungary yang mencadangkan ratifikasi Sweden mungkin tidak dimasukkan dalam agenda Parlimen, kali ini.

Khamis lalu, pemimpin parti Fidesz, Mate Kocsis mendakwa dia melihat ‘peluang kecil’ kepada Parlimen membuat undian mengenai perkara tersebut, tahun ini.

Hungary sehingga kini kekal sebagai satu-satunya negara menyertai anggota NATO, selain Turkiye, yang masih belum meluluskan tawaran Sweden untuk menyertai perikatan itu.

Negara Nordik itu sebelum ini bersama dengan negara jirannya, Finland menggugurkan sikap berkecuali ketenteraannya selepas Russia menyerang Ukraine pada Februari tahun lalu, sekali gus menyuarakan hasrat untuk menyertai NATO.

Namun, Hungary telah menangguhkan pengesahan bidaannya sejak Julai tahun lalu sambil membuat tuntutan yang tidak jelas daripada Stockholm sebagai syarat untuk kelulusan.

Orban mendakwa ahli politik Sweden telah membuat ‘pembohongan terang-terangan’ mengenai keadaan demokrasi Hungary, sehingga menyebabkan beberapa ahli Parlimen tidak pasti sama ada untuk menyokong bidaan penyertaan tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button