Berita UtamaDunia

Kadar inflasi Jerman cecah paras tertinggi dalam 70 tahun

Kekurangan tenaga bakal sebabkan kemelesetan berlanjutan

BERLIN, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Kadar inflasi tahunan Jerman mencecah paras tertinggi dalam tempoh 70 tahun, di tengah-tengah amaran bahawa kekurangan tenaga boleh menyebabkan kemelesetan berlanjutan.

Menurut statistik rasmi yang diterbitkan, semalam harga pengguna di Jerman meningkat 10.9 peratus pada tahun itu hingga September.

Data awal yang dikeluarkan pejabat perangkaan kerajaan, Destatis menunjukkan bacaan inflasi tertinggi sejak Disember 1951.

Destatis berkata, harga tenaga telah meningkat dengan ketara dan mempunyai kesan yang besar terhadap kadar inflasi yang tinggi.  

Harga tenaga meningkat 43.9 peratus pada bulan September tahun ke tahun.

Harga makanan juga meningkat melebihi purata, mencatatkan kenaikan 18.7 peratus pada tahun ini. 

Faktor lain yang mendorong inflasi lebih tinggi ialah masalah rantaian bekalan dan kenaikan harga yang ketara ketika pemulihan ekonomi, kata Destatis.

Pakar secara khusus mengaitkan kenaikan harga komoditi Jerman dengan tamatnya langkah kerajaan sementara untuk melindungi isi rumah dan perniagaan daripada kesan harga tenaga yang lebih tinggi.

Harga tenaga melambung tinggi berikutan keputusan Russia memotong bekalan gas ke Eropah selepas negara itu mengenakan sekatan ke atas Moscow berhubung operasi ketenteraan khasnya di Ukraine. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button