Berita UtamaUtama

Thailand laksana sekatan jalan raya seluruh negara

Pusat beli-belah, tempat hiburan dan venue sukan ditutup

BANGKOK, 2 Syaaban 1441H, Jumaat – Susulan perintah daurat berkuat kuasa di Thailand semalam, pihak berkuasa telah mengadakan 357 sekatan jalan raya di seluruh negara bagi melakukan saringan terhadap rakyat yang membuat perjalanan merentas wilayah dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Anggota tentera, polis dan pegawai kesihatan yang mengawal sekatan jalan raya di sempadan wilayah termasuk tujuh di Bangkok menjalankan saringan suhu badan sehingga 30 April ini.

Tinjauan di sekatan jalan raya Bang Na di ibu negara ini, mendapati pegawai mengambil suhu badan pemandu dan penumpang selain menasihatkan mereka menggunakan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman atau pembersih tangan.

Semalam, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha mengisyitharkan daurat bermula semalam hingga 30 April.

Bermula semalam, semua warga asing dilarang memasuki negara ini melalui semua pintu masuk kecuali diplomat, pemegang permit kerja warga asing dan mereka dalam sektor pengangkutan manakala warga Thailand yang bekerja dengan kedutaan asing dan mempunyai sijil kesihatan dikecualikan daripada larangan perjalanan.

Di bawah perintah daurat, semua pusat beli-belah, tempat hiburan dan venue sukan ditutup manakala pasa raya menjual makanan dan keperluan harian, farmasi dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi.

Restoran dan kafe hanya boleh menyediakan khidmat penghantaran dan bawa pulang sahaja.

Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam berkata, kerajaan negara itu tidak menolak kemungkinan melaksanakan perintah berkurung atau larangan perjalanan sekiranya keadaan wabak bertambah buruk.

Semalam, Thailand mencatatkan 111 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah 1,045 kes dengan empat kematian.

Seorang pegawai Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Anupong Sujariyakul berkata, daripada jumlah terbaru itu, seorang daripada mereka adalah peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di Kuala Lumpur.

Setakat ini, sembilan petugas kesihatan dijangkiti virus itu selepas pesakit sengaja menyembunyikan maklumat penting mengenai sejarah perjalanan serta kontak mereka, katanya.

Sementara itu, Jabatan Pemulihan mengesahkan dua banduan dijangkiti COVID-19 iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun yang menghidap kanser dan seorang suspek kes dadah.

“Pihak berkuasa sedang menyiasat punca jangkitan. Kami akan memantau secara dekat tahap kesihatan semua banduan dalam negara. Langkah sewajar telah diambil bagi mengekang penularan wabak ini,” menurut kenyataan jabatan itu.

Thailand mempunyai 380,000 banduan dengan 13,000 pegawai pemulihan di seluruh negara itu. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker