Berita UtamaUtama

PKP: Ibu bapa dinasihat sedia jadual belajar anak-anak

Akses aplikasi yang diperkenal KPM seperti Google Classroom

BANGI, 2 Syaaban 1441H, Jumaat – Ibu bapa dinasihat menyediakan jadual belajar untuk anak-anak masing-masing di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan sehingga 14 April depan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, perkara itu penting untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Ibu bapa juga perlu melakukan pemantauan dan memastikan anak-anak mereka berterusan mengulangkaji pelajaran, katanya.

“Ibu bapa boleh mendapatkan maklumat berkaitan jadual pengajaran guru secara atas talian melalui group WhatsApp ibu bapa.

“Bagi anak-anak yang tiada kelas atas talian bersama guru, ibu bapa bolehlah menyediakan jadual belajar anak-anak di rumah dan memperkenalkan aktiviti pembelajaran yang menarik antaranya seperti Quizizz, Kahoots dan sebagainya,” katanya kepada Ismaweb.net.

Selain itu, beliau berkata, bagi yang mempunyai kemudahan, anak-anak boleh dilatih mengakses aplikasi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Google Classroom untuk memudahkan pembelajaran di rumah.

“Anak-anak juga boleh diajar untuk ‘explore’ kaedah pembelajaran secara maya seperti menggunakan aplikasi Zoom, Hangout dan sebagainya untuk berinteraksi dengan guru kelas,” katanya.

Mohd Azizee menegaskan, pemantauan yang berterusan oleh ibu bapa amat penting supaya anak-anak tidak menggunakan gajet untuk perkara yang tidak berfaedah seperti bermain permainan video, ‘Tik Tok’, melayari pornografi dan sebagainya.

Sementara bagi para guru, Mohd Azizee berkata, mereka perlu merancang aktiviti pembelajaran untuk murid-murid secara sistematik.

“Adalah disyorkan supaya mereka menyediakan bahan pembelajaran secara kreatif, menguasai aplikasi pembelajaran abad 21.

“Guru juga perlu memudahkan capaian ilmu terutama kepada anak-anak luar bandar yang kurang akses internet dengan menggunakan medium yang bersesuaian,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker