Berita UtamaUtama

Kadar kematian COVID-19 di Malaysia hanya 1.1 peratus

Berbanding 4.5 peratus kadar dicatatkan seluruh dunia

PUTRAJAYA, 2 Syaaban 1441H, Jumaat – Kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia ketika ini hanya 1.1 peratus berbanding 4.5 peratus kadar yang dicatatkan di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 98 peratus kes positif COVID-19 dapat dipulihkan setakat ini.

“Memang ambil masa untuk pastikan mereka pulih dan kembali kepada masyarakat. Apa yang penting sebelum mereka discaj dari hospital keputusan mereka perlu negatif untuk tempoh 24 jam.

“Kami tetap memberikan penjagaan sehingga mereka mendapat keputusan negatif sebanyak dua kali,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Kementerian Kesihatan, semalam.

Sehingga 12 tengah hari tadi, jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di negara ini ialah 23 kes manakala jumlah positif virus itu adalah 2,031 kes, dengan kes paling muda ialah bayi berusia 12 hari dan paling tua berusia 83 tahun.

Sementara itu, ditanya adakah hospital swasta mempunyai fasiliti lengkap untuk mengasingkan pesakit COVID-19, beliau berkata, hospital berkenaan mempunyai fasiliti untuk pengasingan pesakit dan KKM telah memberi penerangan mengenai Prosedur Operasi Standard untuk menguruskan pesakit COVID-19.

“Mungkin sampai satu masa di mana kalau penggunaan ICU (Unit Rawatan Rapi) di hospital awam penuh, pihak swasta perlu merawat pesakit di ICU masing-masing. Mereka ada fasiliti itu… namun setakat ini memang kes positif (COVID-19) dirujuk ke hospital awam,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 13,762 daripada 16,000 jemaah yang hadir ke perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menjelaskan orang ramai tidak perlu khuatir untuk menderma darah ketika ini kerana KKM sentiasa memastikan prosedur nyahkuman dilakukan.

“Selamat untuk derma darah, derma darah bukan jangkitan. Tiada masalah sekatan sebab kalau mahu ke hospital tiada sekatan tetapi kena maklum kepada hospital dulu untuk kami membuat persiapan.

“KKM akan tetapkan tarikh temu janji untuk kutipan darah ini. Kami galakkan mereka yang nak derma darah tampil untuk berbuat demikian,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker