Berita UtamaIstimewaUtama

COVID-19: Potong gaji jemaah menteri langkah terpuji

Harap kerajaan negeri, wakil rakyat ikut tindakan Kabinet

BANGI, 2 Syaaban 1441H, Jumaat – Tindakan Kabinet melaksanakan pemotongan dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan kepada Tabung COVID-19 disifatkan sebagai langkah tepat, tatkala pendapatan rakyat terjejas teruk akibat krisis wabak itu.

Memuji langkah bertanggungjawab kerajaan baharu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap tindakan ini menjadi contoh ikutan kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat termasuklah pembangkang.

“Insya-Allah, usaha murni sebegini akan menjadi contoh ikutan pula kepada rakyat selain mengembalikan kepercayaan mereka kepada pemimpin-pemimpin negara.

“Mungkin usaha ini dapat mengurangkan ‘politicking’ oleh para ahli politik terutamanya dalam menghadapi krisis wabak COVID-19 ini.

“Saya harap usaha ini menjadikan para ahli politik lebih tawaduk dan bekerja bersungguh-sungguh untuk rakyat serta merasai perit jerih rakyat marhaen.

“Semoga krisis ini berakhir dengan cepat dan dengan natijah yang baik, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kabinet memutuskan agar dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan disalurkan kepada Tabung COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19.

Tabung COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker