Berita UtamaUtama

Tiga remaja antara empat didakwa ingkar PKP

Tertuduh turut hadapi tuduhan halang penjawat awam laksana tugas

BATU PAHAT, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Seorang pendawai dan tiga remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, dua hari lalu.

Soo Yong Hwa, 19, bersama-sama tiga remaja berumur 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka didakwa bergerak dari Jalan Balau Laut, Taman Kota, Yong Peng ke Jalan Parit Bilal, di sini, yang merupakan tempat dalam kawasan jangkitan yang bukan bertujuan melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada jam 3.15 pagi, Selasa lalu.

Semua mereka didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menghalang penjawat awam Sarjan Mohd Azhar Salleh menjalankan tugasnya sebagai anggota sekatan jalan raya di Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, jam 3.30 pagi pada hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Nurul ‘Izzati menetapkan Soo didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit manakala denda RM5,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.

Semua juvana itu pula dibenarkan diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut menetapkan 20 Mei depan bagi sebutan semula kes terhadap ketiga-tiga mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dewi Jasmine Amalina Ahmad manakala semua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker