Berita UtamaUtama

Pesakit COVID-19 cerita pengalaman

Disahkan sembuh selepas 12 hari dirawat di hospital

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Ia adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan, bermula daripada menaiki ambulans ke hospital sehinggalah disahkan sembuh dan dibenar keluar hospital.

Sedih, sebak, risau semuanya bercampur baur – dan seorang pesakit COVID-19 yang telah sembuh mengakui beliau menangis ketika menaiki ambulans setelah disahkan positif virus itu.

“Sebelum pergi, sempat berkata kepada anak ‘Umar (anak) duduk dengan mak lang (adik ipar) sampai mommy (mak) daddy (ayah) balik yer…daddy dan mommy sakit pergi hospital jumpa doktor’,” katanya.

Namun, semuanya dihadapi dengan tabah dan menganggap apa yang menimpanya itu bagaikan satu hikmah apabila mengajarnya untuk bersyukur dengan ujian diberikan.

Menerusi akaun Twitternya, seorang pengguna dikenali @zulafandiharris memberitahu sejak disahkan positif COVID-19 pada 9 Mac selepas berjangkit daripada isterinya, banyak perkara positif dipelajarinya terutama ketika menerima rawatan selama 12 hari di Hospital Kuala Lumpur.

Hantarannya yang dimuat naik pada Selasa dan tular di laman Twitter ketika ini telah meraih lebih 16,000 ulang kicau dan lebih 12,000 tanda suka.

Di hospital, beliau berkongsi wad dengan tiga pesakit lain, manakala isterinya ditempatkan di wad bersebelahan dan beliau bersyukur apabila tiada seorang pun yang ada hubungan dengannya dijangkiti COVID-19 daripadanya termasuk anaknya.

Bersama tiga rakan baharu di dalam wad, lelaki itu berkata, kesemua mereka sangat positif dan memberi sokongan antara satu sama lain sehingga berjaya membina ikatan persahabatan. Beliau turut berkongsi gambar swafoto yang dirakam di dalam wad mereka.

Ketika dirawat, beliau menceritakan pengalaman menikmati hidangan yang lazat dan berkhasiat, selain berpeluang menyaksikan kerja keras dilakukan barisan hadapan dalam membantu merawat pesakit COVID-19 yang memakai PPE (peralatan perlindungan peribadi) hampir 12 jam sehari.

“Kadang-kadang kami tidak dapat bezakan antara jururawat, doktor atau pekerja pembersihan…semua masuk mesti pakai PPE…kesian, walaupun wad berpenyaman udara, tetap berpeluh… Hargai pengorbanan mereka,” ujarnya.

Pada hari ke-11 dirawat, beliau dipindahkan ke wad terbuka yang menempatkan 30 pesakit COVID-19.

“Memang susah nak tidur malam itu dan terus berdoa agar dapat keluar cepat…pada hari ke-12 akhirnya saya dapat kebenaran keluar… Alhamdulillah ini semua kenangan tidak dapat dilupakan,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker