Penduduk kampung bantu polis tahan 18 pendatang tanpa izin
Sedar kehadiran mereka, pemilik restoran hubungi ketua kampung
TAWAU, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Cubaan sekumpulan pendatang tanpa izin dari Indonesia menyusup masuk ke Tawau dengan menaiki bot melalui Kampung Batu Payung, di sini, gagal selepas kehadiran mereka dikesan penduduk kampung, malam semalam.
Menurut sumber, penduduk kampung berjaya mengesan 18 pendatang tanpa izin termasuk bayi berusia tiga bulan yang bersembunyi di bawah restoran (restoran atas air), dalam longkang besar, semak samun belakang pondok bas serta kebun kelapa sawit.
“Sejak 7.30 malam tadi, sembilan daripada mereka ditahan dan diserahkan kepada pihak polis, kemudian pada pagi tadi, sembilan lagi dikesan dan turut diserahkan kepada pihak polis.
“Mulanya pendatang tanpa izin itu bersembunyi di bawah sebuah restoran pesisir pantai yang kemudian disedari pemilik restoran berkenaan dan menghubungi ketua kampung pada 8 malam serta penduduk lain berhubung kehadiran kumpulan pendatang tanpa izin itu,” katanya.
Ketua Kampung Batu Payung Amat Salleh berkata, penduduk turut menemukan beg pakaian serta bekalan makanan dipercayai milik pendatang tanpa izin terbabit, yang disembunyikan di sebalik pokok kelapa sawit dan semak samun tepi pantai.
“Ada mereka ini mengaku baru tiba dari Lahad Datu dan mahu ke Kampung Muhibbah di sini, namun selepas itu menukar pengakuan berasal dari Indonesia,” katanya.
Penduduk sempat menjelaskan kepada pendatang tanpa izin terbabit bahawa tindakan mereka itu salah, selain khuatir akan penyebaran COVID-19.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan menerima laporan berhubung tangkapan pendatang tanpa izin oleh penduduk Kampung Batu Payung dan sedang menunggu laporan penuh daripada Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas. -Bernama