Berita UtamaUtama

Lanjut PKP tepat

Tindakan kerajaan memahami denyut nadi rakyat

JOHOR BAHRU, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menyifatkan pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, sebagai suatu perkara yang tepat.

Sultan Ibrahim bertitah pengumuman itu bertepatan bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persiapan awal.

Baginda juga menyifatkan arahan perdana menteri kepada semua kementerian untuk membuat persiapan rapi bagi mengurus keperluan asas sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa itu sebagai suatu tindakan yang baik daripada kerajaan.

“Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas usaha menggerakkan pelbagai tindakan bagi membendung penularan wabak COVID-19, sekali gus memahami denyut nadi rakyat.

“Pelbagai inisiatif serta insentif turut diumumkan dari semasa ke semasa oleh beliau bagi membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19,” titah baginda yang dimuat naik Royal Press Office menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim dalam pada itu turut menyeru agar rakyat dapat mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan kerajaan supaya penularan wabak COVID-19 dapat dibendung dengan segera.

“Saya sentiasa mengambil maklum perkembangan terkini wabak COVID-19 dan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya juga sentiasa berdoa agar situasi COVID-19 ini akan berakhir dengan segera,” titah baginda. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker