Berita UtamaUtama

COVID-19: Pengangguran dijangka meningkat, banyak syarikat terjejas

Kesan ekonomi jangka panjang, rakyat disaran bijak berbelanja

SHAH ALAM, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Meskipun tempoh Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) diumumkan hanya sebulan, namun rakyat negara ini disarankan untuk mempunyai simpanan sekurang-kurangnya enam bulan.

Penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu penting kerana penularan wabak pandemik COVID-19 memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Sebab itulah kerajaan memberikan penangguhan pinjaman bank, bantuan kepada mereka terjejas dan mereka yang dijangkiti virus ini.

“Untuk itu, penangguhan bayaran ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak untuk menyimpan wang mereka bagi mengharungi hari-hari mendatang.

“Jangan pula apabila kerajaan beri penangguhan kita berbelanja besar dan membuat pinjaman baharu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Pada masa sama, Ahmed Razman menjangkakan bahawa kadar pengangguran di negara ini akan meningkat berikutan banyak syarikat-syarikat terjejas dan terpaksa gulung tikar.

“Kalau kita lihat kerajaan berusaha bersungguh-sungguh buat masa sekarang dengan pelbagai inisiatif supaya pihak syarikat dan orang persendirian tidak bankrap dan mampu bertahan dalam kelembapan ekonomi.

“Justeru, langkah terbaik untuk orang ramai ialah bijak berbelanja dan simpanan untuk enam bulan itu boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan selepas ini sama ada untuk mencari pekerjaan (jika kehilangan pekerjaan),” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri hari ini berkata, keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pelanjutan PKP itu sudah tentu memberi impak kepada ekonomi negara kerana aktiviti perniagaan terhenti selama sebulan.

“Perniagaan tidak mempunyai kecairan untuk membayar kos operasi mereka. Oleh sebab itu, selaras dengan penambahan tempoh PKP, kerajaan mengumumkan moratorium selama enam bulan.

“Dengan cara ini syarikat atau perniagaan boleh bertahan dan pekerja masih lagi mempunyai pekerjaan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker