Berita UtamaUtama

Ceupacs syor JKM urus anak-anak ‘frontliners’

Perlu ada giliran kerja supaya mereka boleh jaga anak

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1441H, Khamis – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil alih atau membantu memudahkan pengurusan anak-anak petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April sedikit sebanyak pastinya memberi tekanan kepada penjawat awam yang perlu bertugas, seperti sektor kesihatan dan keselamatan, serta petugas penguatkuasaan, yang suami isteri terpaksa bertugas tetapi perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil.

“Cuepacs juga memohon agar ketua jabatan, khususnya di Kementerian Kesihatan (KKM) melihat semula staf suami isteri yang bekerja sepanjang penularan COVID-19 ini.

“Perlu ada penggiliran kerja, agar mereka boleh menjaga anak ataupun pihak majikan boleh berbincang dengan pihak JKM mengambil alih menjaga pengurusan anak-anak staf KKM terutama yang dua-dua bekerja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya menerima aduan pekerja mengenai arahan buka klinik harian khususnya di Sabah, sehingga pukul 12 tengah malam yang dilihat sangat tidak praktikal ketika ini.

“Cukuplah waktu operasi klinik harian sehingga 9.30 malam sahaja kerana waktu sebegini adalah praktikal dan tidak membebankan pekerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, Cuepacs menyambut baik keprihatinan kerajaan dalam langkah menangguhkan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang pastinya memberi ruang kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi saat-saat genting ketika ini.

Bagaimanapun katanya Cuepacs berharap dan mencadangkan agar penangguhan bayaran pinjaman itu juga diluaskan kepada peminjam-peminjam pembiayaan perumahan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) iaitu dalam kalangan warga penjawat awam.

“Sebahagian daripada mereka juga tergolong dalam golongan B40 yang perlu diberi perhatian. Dengan penangguhan bayaran pinjaman LPPSA yang merangkumi hampir daripada separuh gaji, penjawat awam mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan sewaktu kecemasan ketika ini,” ujarnya.

Justeru itu, Cuepacs juga berharap semua jenis potongan bulanan seperti kuarters perumahan atau pinjaman penjawat awam bagi agensi atau majikan (pinjaman dalaman) juga perlulah ditangguhkan sebagaimana pelaksanaan di bank-bank.

Pada masa sama, menurut Adnan, Cuepacs juga merayu kepada kerajaan agar memberi pertimbangan khas kepada penjawat awam yang pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 di mana dengan terlaksananya PKP ini telah menyebabkan jumlah pendapatan isi rumah terjejas khususnya kumpulan pelaksana yang rata-rata ada pekerjaan sampingan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker