Berita Utama

Rider merusuh: Mereka dianiaya, tindakan ikhlas bela rakan

PEMBELA ajak rakyat berdoa beri sokongan kepada rider terbabit

PETALING JAYA, 9 Muharram 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa supaya kes berkaitan enam penghantar makanan yang menghadapi pertuduhan melakukan rusuhan – didakwa dianiaya – di sebuah restoran pada 18 Mei lalu diigugurkan.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kes berkenaan adalah salah satu contoh di mana individu yang berniat ikhlas membantu rakan sekerja tetapi disalah anggap sehingga mereka dituduh seolah-olah melakukan rusuhan.

“Jadi, saya rasa ini tindakan yang tidak wajar dan satu penganiayaan kepada mereka.

“Dan kita berdoa bersama-sama rakan-rakan lain supaya kes ini menjadi pengajaran kepada semua orang jangan mudah menganiayai sesiapa.

“Kita ada undang-undang dan peraturan. Kita berharap pihak berkenaan tidak akan mengulangi tindakan menganiayai orang lain pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Sebelum ini, mereka – ‘rider Food Panda’ – berkumpul di sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong sebagai tanda protes terhadap seorang lelaki bertindak kasar dengan menendang seorang wanita penghantar makanan hingga terjatuh.

Lelaki terbabit dipercayai tidak berpuas hati kerana wanita yang menunggang motosikal itu memotong ketika dia ingin membuat pusingan U.

Akibat kejadian itu, lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menolak mangsa.

Muhammad Hafiz Yusnan, 21; Muhamad Izzat Abd Bari, 22; Mohd Syukri Achyar, 39; Wan Hafizie Wan Hanapi, 28; S Jaya Nantha Kumaran, 31 dan Amirul Zahari Zailani, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nor Ariffin Hisham.

Semua tertuduh didakwa bersama-sama 10 orang lagi yang masih bebas melakukan rusuhan itu pada 6.20 petang mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, menetapkan 29 September depan bagi sebutan semula kes itu.

Pada masa sama, Haji Aminuddin berkata, PEMBELA dengan kerjasama peguam-peguam yang diketuai oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tampil memberi sokongan moral kepada mangsa yang teraniaya dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, sokongan diberi atas dasar kemanusiaan dan prihatin kepada nasib rakyat yang tidak dibela oleh mana-mana pihak sama ada parti politik mahupun orang kenamaan.

“Kami tampil memberi sokongan akan kesusahan anak-anak muda ini hanya kerana membuat tindakan ikhlas membantu, tetapi akhirnya dituduh sebagai merusuh.

“Jadi, kami terpanggil beri sokongan moral dan kami ucapkan terima kasih kepada rakan peguam yang begitu berkaliber untuk membela anak-anak ini dalam pertuduhan berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button