Berita Utama

Mahkamah Persekutuan dengar cabaran 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan

Peguam tegaskan Nik Elin, anak tiada locus standi

PUTRAJAYA, 30 Muharam 1445H, Khamis  — Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar cabaran undang-undang yang dibawa oleh seorang peguam kelahiran Kelantan dan anak perempuannya yang mahu mahkamah mengisytiharkan 20 kesalahan jenayah Syariah, yang digubal oleh Badan Perundangan negeri Kelantan, sebagai tidak berperlembagaan.

Kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dicabar Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman adalah kesalahan dakwaan palsu, memusnahkan dan mencemarkan tempat ibadat, menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang yang keji akhlaknya, persetubuhan dengan mayat, liwat, gangguan seksual, memiliki dokumen palsu, memberi keterangan palsu, memakan apa-apa yang memabukkan, berjudi, mengurangkan timbangan, sukatan dan berat.

Kesalahan-kesalahan lain ialah melaksanakan urus niaga yang bertentangan dengan Hukum Syarak dan melaksanakan urus niaga melalui riba, penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal, menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat, perbuatan sebagai menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan maksiat, perbuatan sumbang mahram dan muncikari.

Dalam prosiding hari ini, peguam mereka Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan tersebut kerana terdapat Undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan yang sama.

Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak boleh menjatuhkan kesalahan jenayah Syariah ke atas subjek yang berada di bawah takrifan kebimbangan orang ramai yang berkaitan dengan keamanan, ketenteraman, keselamatan, moral, kesihatan kerana itu adalah kesalahan yang terletak di bawah ‘undang-undang jenayah’ yang tertakluk di bawah kuasa membuat undang-undang Kerajaan Persekutuan.

“Kuasa Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam hanya terhad kepada ‘aspek peribadi’ agama,” kata Malik.

Pada permulaan perbicaraan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim berkata, mahkamah bersetuju dengan Malik bahawa kes di mahkamah tidak ada kaitan dengan doktrin Islam sebaliknya mementingkan tafsiran perkataan di Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada niat di pihak pempetisyen (Nik Elin dan Nastasha) atau mahkamah untuk menggugat kedudukan agama Islam,” katanya.

Mahkamah sebelum ini menolak permohonan Jabatan Agama Islam dan Agama Kelantan (Jaheaik) untuk campur tangan dalam kes itu.

Hakim-hakim lain yang mengetuai bangku itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Mahkamah juga mendengar hujahan daripada peguam Datuk Kamaruzaman Muhamad Arif yang mewakili kerajaan Kelantan, yang berhujah bahawa undang-undang Syariah boleh wujud bersama undang-undang sekular.

Beliau berkata, peruntukan-peruntukan yang dicabar peguam dan anak perempuannya itu adalah berperlembagaan dan dikuatkuasakan secara sah.

Beliau meminta mahkamah menyemak semula kes Iki Putra Mubarrak kerana beliau berkata, Mahkamah Persekutuan telah tersilap memutuskan perkara itu.

Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff yang bertindak sebagai watching-brief untuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) memberitahu mahkamah bahawa Nik Elin dan anak perempuannya tidak mempunyai locus standi (legal standing) untuk membawa cabaran itu kerana mereka belum pernah terkesan dengan mana-mana undang-undang, dan cabarannya terhadap perlembagaan undang-undang tersebut adalah terlalu awal.

Kedua-dua mereka mendapat persetujuan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Datuk Vernon Ong Lam Kiat (kini bersara) untuk memulakan cabaran perlembagaan mereka pada 30 September tahun lepas.

Mereka telah menamakan kerajaan Kelantan sebagai responden dalam petisyen mereka.
Hakim Tengku Maimun kemudiannya menangguhkan perbicaraan kes itu ke hari lain untuk diselesaikan kemudian.

Sisters in Islam, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dibenarkan masuk sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) manakala beberapa peguam menjadi watching-brief untuk Maidam, Persatuan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Peguam Islam, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Perak, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Sabah dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button