Berita UtamaDuniaUtama

COVID-19: 2 doktor antara 107 kes baharu di Thailand

67 lagi kes baharu daripada kluster tidak diketahui

BANGKOK, 30 Rejab 1441H, Rabu – Dua doktor antara 107 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Thailand hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 934 kes dengan empat kematian.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 27 kes baharu itu mempunyai kaitan dengan jangkitan sebelum ini – 14 daripadanya mempunyai kontak rapat kes disahkan, lima pernah mengunjungi pusat hiburan, empat hadir perlawanan Muay Thai dan empat lagi menghadiri perhimpunan agama di sebuah masjid di Malaysia.

Beliau berkata, 13 lagi kes baharu itu termasuk enam yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, lima berkerja di tempat yang sesak dan ada kontak dengan warga asing manakala dua doktor akibat pesakit menyembunyikan maklumat ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Sejumlah 67 lagi kes baharu daripada kluster yang tidak diketahui dan pihak berkuasa kini sedang menyiasat sumber jangkitan berkenaan, katanya.

“Keadaan dua doktor berkenaan tidak serius. Bagaimanapun, 25 petugas penjagaan kesihatan yang mempunyai kontak rapat dengan doktor itu perlu menjalani kuarantin di rumah.

“Jangan sesekali menyembunyikan maklumat kerana ia meletakkan petugas penjagaan kesihatan berisiko dijangkiti COVID-19 dan menjejaskan sistem kesihatan di negara ini,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 934 kes dengan empat kematian, 70 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 860 lagi masih dirawat, kata Thaweesilp yang mengesahkan COVID-19 telah merebak ke seluruh wilayah di negara itu.

“Daripada keseluruhan jumlah kes COVID-19 di negara ini, 25 peratus daripadanya adalah mereka yang menghadiri perlawanan Muay Thai di Bangkok manakala 10 peratus lagi mereka yang pernah mengunjungi pusat hiburan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Jeneral, Prayuth Chan o-cha mengumumkan, Thailand akan menguat kuasakan perintah berkurung selama sebulan bermula esok dengan langkah lebih keras diambil bagi mengekang wabak COVID-19. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker