Berita Utama

KKM bincang dengan Pfizer tambah 30 peratus lagi bekalan vaksin

Pelan imunisasi penting pastikan Malaysia capai imuniti kelompok

PUTRAJAYA, 28 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat berbincang dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi mendapatkan 30 peratus lagi bekalan vaksin COVID-19, COMIRNATY (Concentrate For Dispersion For Injection) keluaran Pfizer-BioNTech.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan penambahan itu, bekalan vaksin akan boleh meliputi 50 peratus populasi Malaysia.

Merujuk kepada penerimaan bekalan vaksin daripada Pfizer yang akan tiba lebih awal daripada jangkaan, beliau berkata, ia akan membolehkan Program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan lebih awal.

“Ini adalah kekuatan kita (Malaysia) untuk berunding dengan syarikat Pfizer, dan vaksin itu telah memberi kesan yang baik kepada banyak negara dalam memastikan imuniti diberikan kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Adham sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia akan menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal sebelum Program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Feb bermula.

Malaysia akan menerima vaksin itu susulan perjanjian penghantaran pertama yang dimeterai pada 11 Jan lepas antara KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos, yang meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos tiap seorang.

Mengenai langkah diambil KKM untuk memastikan Program Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar, Dr Adham berkata KKM telah menjalankan satu kajian dalam talian pada bulan Disember lepas dan mendapati 67 peratus daripada 200,000 peserta bersetuju mengambil vaksin COVID-19.

Katanya, 17 peratus daripada peserta pula tidak pasti, dan 16 peratus lagi tidak bersetuju.

“KKM sudah menjalankan beberapa tindakan untuk memastikan 17 peratus yang tidak pasti itu akan menjadi kumpulan yang setuju mengambil vaksin. Mereka boleh tidak bersetuju (mengambil vaksin), tetapi jangan adakan kempen tidak setuju untuk orang lain, kerana ia menyalahi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Dr Adham berkata, program pelan imunisasi penting bagi memastikan Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada 80 peratus penduduk. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button