Berita UtamaIstimewaUtama

Khalid Samad masuk perangkap Malaysiakini

'Takkan tolak sekolah vernakular pun dikira pelampau, penjual agama'

BANGI, 28 Rejab 1441H, Isnin – Khalid Abdul Samad menunjukkan sikap tidak profesional sebagai wakil rakyat apabila mudah terjerat dengan perangkap Malaysiakini yang menyiarkan semula laporan berita dua bulan lalu, berkaitan saman difailkan ISMA untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya yang nyata terkejut dengan perkara itu berkata, mungkin itulah martabat bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang dilihat setaraf ‘cybertrooper ‘sahaja.

Beliau yakin itulah modus operandi media liberal seperti Malaysiakini – membuat berita sensasi termasuk memuat naik berita lama pada masa yang tidak kena, seperti waktu krisis sebegini.

Katanya, seperti biasa ia adalah satu ‘perangkap’ untuk mengumpulkan ‘cybertrooper’ menjadi gila dan meroyan tanpa memahami konteks atau berita sebenar bahkan mungkin lumrah media baharu itu.

“Pesan saya kepada YB Khalid Samad, duduk rumah dan berehatlah. Tenangkan fikiran dahulu. Mungkin beliau masih dalam trauma yang beliau kehilangan jawatan sebagai menteri, kita faham. Selepas dapat terima hakikat tersebut dan bertenang, tumpulah perhatian kepada rakyat Shah Alam.

“Tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai wakil rakyat, lebih-lebih lagi pada waktu-waktu genting seperti krisis penularan pandemik COVID-19 ini.

“Ingatlah, rakyat sentiasa memerhati tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka apatah lagi gelagatnya itu ditonjolkan di media sosial,” kata Haji Aminuddin dalam satu kenyatan.

Terdahulu, Khalid menerusi akaun Twitter memuat naik kenyataan mengkritik ISMA selepas Malaysiakini menyiarkan semula laporan berita dua bulan lalu, berkaitan saman yang difailkan untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular.

“Pelampau dan penjual agama. Semoga mereka dipinggirkan dan dikenali rakyat sebagai golongan yang mencemar agama Islam dengan pemikiran sempit mereka,” kata beliau.

Hairan dengan dakwaan itu, Haji Aminuddin mempersoalkan kritikan Khalid yang cuba mengaitkan isu sekolah vernakular dan agama.

Beliau menegaskan, terlalu ramai pakar akademik dan aktivis pendidikan dari pelbagai latar belakang termasuk kaum dan agama menyokong bahawa sekolah satu aliran adalah solusi terbaik kepada kepincangan yang berlaku sekarang.

“Malah, majoriti rakyat juga menolak sekolah vernakular dan mendesak agar sistem sekolah satu aliran dipercepatkan. Adakah mereka semua ini pelampau dan penjual agama? Apa kaitan sekolah vernakular dengan agama?,” soal Haji Aminuddin.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker