Berita UtamaKolumnisUtama

Mengapa turutan para Nabi Berbeza?

Tiada dalil jelas berhubung perkara itu

SEMPENA peristiwa Isra Mikraj ini, ada yang bertanyakan mengapa kedudukan para Nabi ini berbeza ketika Rasulullah ﷺ berjumpa dengan mereka pada malam Nabi diangkat ke langit? Para ulama berbeza pandangan mengenai perkara ini.

2. Antara pandangan yang menarik dalam menghuraikan hikmah perjumpaan para Nabi dilangit yang berbeza ini adalah seperti yang diutarakan al-Imam al-Salihi di dalam karyanya Subul al-Huda wa al-Rasyad. Beliau menyebutkan:

أن ذلك تنبيه على الحالات الخاصة بهؤلاء الأنبياء صلوات الله وسلامه عليهم أجمعين وتمثيل لما سيقع للنبي صلى الله عليه وسلم

“Sesungguhnya (kedudukan para Nabi tersebut) adalah penekanan tentang ciri-ciri istimewa yang ada pada mereka dan perumpamaan tentang apa yang akan dikurniakan (atau akan berlaku) kepada Baginda Nabi.”

3. Menurut Ibn Abi Jamrah, kedudukan Nabi Adam dilangit yang pertama kerana Allah ingin mempertemukan manusia pertama yang dijadikan bagi menyambut Rasulullah ﷺ. Kata beliau:

الحكمة في كون آدم في السماء الدنيا لأنه أول الأنبياء وأول الآباء فهو أصل

“Hikmah dijadikan Adam pada langit yang pertama kerana beliau adalah Nabi yang pertama dan bapa kepada sekalian manusia.”

4. Namun ada yang berpandangan bahawa kedudukan Nabi Adam dilangit yang pertama kerana mengingatkan manusia tentang asal kejadian mereka daripada Tanah. Diletakkan pula Nabi Isa pada langit yang kedua kerana Isa adalah simbol kepada Ruh. Elemen tanah sahaja tidak memadai tanpa Ruh. Begitu juga dengan Nabi Yahya, sebagai simbol kehidupan.

5. Kemudian dikatakan Nabi Yusuf diletakkan dilangit yang ketiga kerana setelah tanah dan ruh disatukan, maka dijadikanlah sebaik-baik kejadian. Maka Nabi Yusuf adalah simbol kepada sebaik-baik kejadian. Dijadikan atas rupa yang sangat menawan memukau mata yang memandang.

6. Setelah dibentuk manusia kepada sebaik-baik kejadian, maka ditekankan pula tentang aspek Ilmu dan Nabi Idris ditafsirkan sebagai Nabi yang menterjemahkan manifestasi ilmu. Kata al-Imam al-Qurtubi:

أول من خط بالقلم ، وأول من نظر في علم النجوم والحساب وسيرها . وسمي إدريس لكثرة درسه لكتاب الله تعالى

“Orang yang pertama menulis dengan pen adalah Nabi Idris, orang yang pertama meneliti ilmu astronomi (bintang-bintang) dan perhitungan mengenainya adalah beliau. Dinamakan sebagai Idris kerana ketekunan beliau dalam mempelajari kitab Allah.” (Tafsir al-Qurtubi)

7. Setelah ditekankan tentang Ilmu, dipersembahkan pula keutamaan memiliki Hikmah (bijaksana) kerana orang yang mempunyai ilmu itu belum tentu bijaksana. Lalu ditampilkan Nabi Harun.

8. Dan setelah menguasai Ilmu dan Hikmah, ditekankan akan kepentingan Munajat, berhubung dan berinteraksi dengan Allah. Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh Nabi Musa, kalimullah (manusia yang berdialog dengan Allah). Dan kemuncaknya pada Nabi Ibrahim, yang diiktiraf sebagai kekasih Allah, lambang keunggulan hubungan hamba dan Tuhannya peringkat tertinggi.

9. Semua ciri keistimewaan ini telah pun dikurniakan kepada Rasulullah ﷺ. Seperti yang ditegaskan oleh al-Salihi bahawa tiada satu kurnia yang diberikan kepada Nabi lain melainkan Rasulullah ﷺ akan dianugerahkan juga. Beliau memetik kata al-Imam al-Syafie:

ما أعطى الله نبيا قط شيئا إلا وقد أعطى محمدا صلى الله عليه وسلم أكثر

“Tiada yang dikurniakan kepada Nabi lain satu perkara pun melainkan dianugerahkan kepada Rasulullah ﷺ dengan lebih banyak (sempurna) dari itu.” (dinukilkan oleh al-Baihaqi)

10. Ini hanyalah bacaan tentang hikmah penyusunan pertemuan para Nabi dengan Rasulullah ﷺ di setiap langit pada malam Isra Mikraj. Tiada dalil yang jelas berhubung perkara ini. Sekadar pandangan peribadi berdasarkan pandangan sebahagian ulama silam.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker