Berita UtamaIstimewaUtama

Iktiraf UEC satu penderhakaan

Tindakan benar lulusan itu sertai PISMP umpama menghina rakyat

BANGI, 27 Rejab 1441H, Ahad – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka menggesa Kerajaan Persekutuan diterajui Perikatan Nasional (PN) menarik kembali pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Ketua Perhubungan Negeri ISMA Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, umum mengetahui kedua-dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji akan mengiktiraf UEC.

“Jadi kita berharap kerajaan PN dapat buat lebih baik menarik kembali UEC demi perpaduan dan identiti negara yang kita perjuangkan selama ini.

“PN mesti mengkaji semula dan mengambil kira Perlembagaan dan undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara dalam membuat keputusan berkaitan UEC. UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

“Ketika pemerintahan PH, ia menjadi salah satu isu hangat dan desakan daripada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan kerjasama DAP dan MCA agar ianya diiktiraf dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ustaz Khoushaini menegaskan bahawa, sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tegas menolak untuk mengiktiraf UEC kerana tidak selaras dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Pendidikan 1996.

Jelas beliau, UEC tidak mematuhi kehendak KPM seperti silibus mata pelajaran asas bernegara terutama Sejarah dan Bahasa Melayu seperti diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malah standard UEC bagi mata pelajaran ini terlalu rendah.

Katanya lagi, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus KPM, oleh itu jelas berada di luar sistem pendidikan negara.

Bahkan beliau menyifatkan ia seperti satu bentuk penderhakaan dan penghinaan kepada rakyat sekiranya UEC diiktiraf.

“Ini soal pembinaan negara, pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama harus diyakini rakyat dalam memajukan negara bukannya direndahkan. UEC hanya akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan serta mencabar kedaulatan negara.

“Ini sudah pasti membuatkan keharmonian negara terjejas, jurang perbezaan di kalangan kaum akan semakin besar kerana perbezaan silibus dan bahasa. Juga satu kerugian kepada kaum Cina yang telah mengikuti sistem pendidikan sedia ada. Kerana itulah UEC tergantung dan tidak diiktiraf sehingga ke hari ini,” katanya.

KPM sebelum ini mengeluarkan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon laluan khas untuk pelajar lepasan UEC.

Malah, terdapat poster dikeluarkan dengan kapsyen calon lepasan UEC, SMA dan SMU berumur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2020 layak untuk memohon PISMP.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker