Pendapat

Hati-hati ketika beri gambaran berkait dengan Rasulullah

Tidak disebut secara spesifik mengenai Buraq melainkan beberapa ciri umum

1. SEMPENA Israk dan Mikraj ini, ada yang bertanya mengenai gambaran Buraq melalui lukisan yang dihasilkan dalam beberapa manuskrip silam. Ada di antara karya ini memberikan ilustrasi Buraq sebagai binatang yang berkepala manusia, mempunyai kepak dan berambut panjang.

2. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Tirmizi, tidak disebutkan secara spesifik mengenai Buraq ini melainkan beberapa ciri yang umum iaitu ia berwarna putih, lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal dan langkahnya sejauh mata memandang.

3. Namun al-Imam Ibn al-Jauzi ada menukilkan sebuah hadis palsu yang dikatakan menggambarkan secara terperinci mengenai Buraq ini yang menyebutkan:

سَخَّرَ الله لِيَ الْبُرَاق ، وَهِيَ دَابَّةٌ مِنْ دَوَابِّ الْجَنَّةِ ، وَجْهُهُ كَوَجْهِ آدَمِيٍّ، حوافيره كحوافر الْخَيل، وذنبها كذب الْبَقَرَةِ، فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ، سرْجُهُ مِنْ يَاقُوتٍ أَحْمَرَ، وَرِكَابُهُ مِنْ دُرٍّ أَبْيَضَ مَزْمُومٌ بِسَبْعِينَ أَلْفَ زِمَامٍ مِنَ الذَّهَبِ، لَهَا جَنَاحَانِ مُكَلَّلانِ بِالدُّرِّ وَالْيَاقُوتِ، مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ لَا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ

“Allah telah memberikan aku tunggangan buraq dan ia adalah binatang daripada binatang syurga. Wajahnya seperti wajah manusia, kukunya seperti kuku kuda, tanduknya seperti tanduk lembu, lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal, talinya daripada Yaqut merah, pelananya daripada Mutiara putih diikat dengan tali emas, ia mempunyai sayap dan ditulis di antara dua matanya Lailaha illallah Muhammad Rasulullah. (Ibn al-Jauzi, al-Maudu’at).

4. Ketika mengulas mengenai hadis ini, al-Imam Ibn al-Jauzi menegaskan bahawa hadis ini adalah hadis palsu. Perincian inilah barangkali yang menjadi imaginasi buat sebahagian pelukis menghasilkan ilustrasi tentang Buqra. Kata Ibn al-Jauzi:

هَذَا حَدِيثٌ لَا نَشُكُّ فِي وَضْعِهِ، فَمَا أَجْهَل وَاضعه

Hadis ini tidak syak lagi adalah palsu, sangat jahil orang yang mencipta hadis ini.” (Ibn al-Jauzi, al-Maudu’at)

5. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memberikan gambaran tentang segala perkara yang berkaitan dengan Rasulullah. Dibimbangi ia berasal dari sumber yang tidak benar dan memberikan gambaran yang salah tentang Rasulullah.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button