Berita UtamaIstimewaUtama

Iktiraf UEC: Satu malapetaka besar

Dalang di sebalik polisi wajar disingkirkan dari Kabinet

BANGI, 25 Rejab 1441H, Jumaat – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai menangguk di air keruh.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, ini kerana ia dilakukan ketika situasi Kabinet baharu – pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin – masih belum stabil serta keadaan negara yang sedang bergelut berhadapan dengan ancaman COVID-19.

“Jika benarlah KPM telah mengiktiraf UEC sebagai salah satu kelulusan untuk pengambilan khas bagi PISMP seperti yang dilaporkan akhbar, ia adalah satu malapetaka besar bagi negara.

“UEC amat jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996. Jika fenomena ini dibiarkan, tidak mustahil UEC akan diterima sebagai kelayakan dalam lebih banyak kemasukan ke IPTA/S, penjawatan awam dan pelbagai sektor kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KPM mengeluarkan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon laluan khas untuk pelajar lepasan UEC.

Malah, terdapat poster dikeluarkan dengan kapsyen calon lepasan UEC, Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) berumur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2020 layak untuk memohon PISMP.

Bagaimanapun, KPM yang mengambil maklum isu itu berkata, ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan UEC untuk adalah untuk subjek Bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC).

KPM juga menjelaskan bahawa pengambilan pelajar bawah program ini dibuat setiap tahun semenjak 2011 lagi.

Muhammad Lukman menegaskan, jika laporan akhbar itu benar, dalang di sebalik polisi berkenaan wajar meletak jawatan dan disingkirkan dari Kabinet baharu

“Umum mengetahui kedua-dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji akan mengiktiraf UEC.

“Namun, rakyat rata-rata mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu akan melihat semula isu ini dan tampil dengan pendirian yang tegas demi mempertahankan identiti dan perpaduan nasional,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker