Berita UtamaIstimewaUtama

Kesalahan jenayah jika ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Sah di sisi Perlembagaan, undang-undang serta tepat pada masa

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 22 Rejab 1441H, Selasa – Kerajaan perlu bertegas dalam pelaksanaan undang-undang terhadap mana-mana individu atau entiti yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac, kata Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata, perintah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang serta wajib dan tepat pada masanya.

Maka, mengikut peruntukan Seksyen 11(5) Akta 342 dibaca bersama dengan Seksyen 24(a) Akta yang sama menjadikan keingkaran larangan yang akan berkuat kuasa mulai esok hingga tamat tempohnya, menjadi satu kesalahan jenayah.

“Di mana kesalahan pertama boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun ataupun denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Malam tadi, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara selama 14 hari mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah Kawalan Pergerakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagi menguatkuasakan larangan, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian.

Pada masa sama, Haniff turut mengesyorkan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengeluarkan notis 48 jam sebelum tamat pada 31 Mac, sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

Katanya, kesihatan dan nyawa kesemua rakyat Malaysia adalah jauh lebih bernilai dalam menangani wabak COVID-29.

“Malah lebih bernilai dari wang ringgit yang mungkin bakal kehilangan dengan penutupan kesemua aktiviti dalam tempoh larangan ini berkuatkuasa,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker