Berita UtamaIstimewaUtama

Ka Siong tak perlu ajar Melayu tentang politik Cina

Orang Cina, India perlu akur pada identiti watan berakarkan Melayu

BANGI, 21 Rejab 1441H, Isnin – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak perlu mengajar orang Melayu mengenai politik orang Cina, memandangkan mereka sendiri sudah menunjukkan belang sejak tahun 2008 sehinggalah kemuncak taring ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, dakwa Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) itu mendakwa, politik orang Cina adalah politik tamak dan mementingkan diri serta kaum sendiri sahaja.

Dakwanya, perkara itu dapat dilihat apabila mereka mempersenda identiti nasional dan bermati-matian pertahankan sekolah vernakular agar lahir generasi Cina yang tak perlu akur kepada identiti berkenaan.

“Kita orang Melayu boleh terima kaum Cina dan kaum India sebagai warganegara setaraf hak kerakyatan, namun mereka mesti akur pada identiti watan ini yang berakarkan sejarah tanah Melayu, budaya Melayu, raja-raja Melayu, Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu bahasa kebangsaan, sebagai identiti nasional.

“Belajarlah bahasa Cina, tapi akur bahawa bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan, jangan kurang ajar.

“Pertahankanlah agama Budha, Kristian kamu, tapi jangan kurang ajar dengan pelbagai provokasi terhadap agama Islam, nabi. Wee Ka Siong faham benda-benda ini tidak? PAS dan UMNO ajar tidak benda-benda ini?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Ustaz Mohd Hazizi berkata demikian sebagai mengulas wawancara Presiden MCA itu bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Ong Boon Teck baru-baru ini.

Dalam temu bual itu, Ka Siong mendakwa masyarakat Cina marah dengan PH sampaikan tiada seorang pun kata prestasi perniagaan mereka baik.

Beliau juga menegaskan untuk tidak mahu mendengar cakap-cakap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerajaan Melayu Islam.

“Saya di sini untuk sama-sama membantu Perdana Menteri dan Kabinet untuk menggambarkan kemajmukan Malaysia.

“Kita di sini turut memainkan peranan yang penting bagi mencapai kestabilan sosial dan juga kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum. Ini penting. Saya rasa bukan mudah tetapi kita akan menggalas tanggungjawab ini secara berwaspada dan buat yang terbaik untuk negara.

“Dan awal-awal lagi Tan Sri Muhyiddin kata dia ialah Perdana Menteri untuk semua. Jadi bagaimana kita mahu menterjemahkan dengan satu tindakan dan semua anggota Kabinet dapat mendukung cita-cita itu,” katanya.

Ustaz Mohd Hazizi menegaskan, apa yang Ka Siong katakan tidak mewakili 90 peratus orang Cina yang kekal memilih DAP mahupun PH.

“Dia bercakap mengenai 10 peratus Cina yang undi MCA atau BN. Kita nak faham politik orang Cina berdasarkan 90 peratus atau 10 peratus?,” soal beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker