Berita UtamaUtama

Dahulukan agama, bangsa sebelum kepentingan peribadi

Rakyat benci pemimpin tamak, kerap bercakaran sesama sendiri

BANGI, 20 Rejab 1441H, Ahad – Slogan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara perlu diutamakan dalam pentadbiran baharu – pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin – mendahului kepentingan peribadi dan parti politik.

Perkara itu diutarakan Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, dengan harapan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan terdahulu tidak berulang lagi.

Beliau berkata, rakyat membenci pemimpin yang tamak dan kerap bercakaran sesama sendiri, apatah lagi yang terlibat dengan rasuah dan jenayah salah guna harta rakyat.

“Orang ramai ingin melihat bahawa isu kos sara hidup, kesihatan, pendidikan dan kemerosotan ekonomi didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Prof Zainur berkata, beliau sebagai rakyat majoriti yang prihatin dengan identiti negara ingin memastikan bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, kedudukan bahasa kebangsaan dan Majlis Raja-Raja harus dikekalkan.

“Kita tidak mahu ada lagi cubaan menukar identiti negara dan insiden yang mencalar hati umat Islam.

“Saya ingin menyeru pemimpin politik dan mereka yang baru dilantik sebagai menteri Kabinet dan yang diamanahkan untuk menerajui agensi kerajaan dan swasta agar menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab.

“Ayuh, fokus bangunkan negara, bangunkan kepimpinan muda di masa depan, kekalkan identiti watan dan keharmonian kaum, dahulukan keperluan rakyat terutamanya golongan marhaen,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa peristiwa dan insiden yang tidak disenangi rakyat sepanjang dua tahun lalu yang didokumenkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

Katanya, ia supaya peristiwa sedemikian tidak berulang di masa depan akibat kegagalan sebahagian pemimpin Melayu yang diamanahkan untuk menerajui kepimpinan negara.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker