Berita PilihanBerita UtamaTarbiyyahUtama

Pemuda Syurga II

Masalah berkaitan seks merosakkan segalanya

KUALITI PEMUDA ISLAM

SEJAK zaman-berzaman, generasi pemuda sentiasa adalah tonggak dan tiang seri kepada kebangkitan dan kekuatan sesuatu perjuangan.

Bukan rupa, jantina mahupun kerjaya yang menjadi ukuran.

Bukan juga bahasa, bangsa mahupun negara yang menjadi hitungan.

Namun, kekuatan dan kualiti seorang pemuda itu bergantung sepenuhnya kepada 4 ciri utama, iaitu:

  • Keikhlasan

Adalah syarat paling penting dalam apa juga perkara yang ingin dilakukan. Asasnya ialah niat yang bersih, sanubari yang jernih, lidah yang fasih serta jiwa yang sentiasa bertasbih.

Imam Nawawi meletakkan hadis berkaitan niat sebagai hadis yang pertama dalam Hadis 40, simbol kepada kepentingan elemen ini dalam apa jua amalan yang dilakukan oleh seseorang anak Adam A.S.

  • Keyakinan

Keimanan atau keyakinan bergantung kepada hati yang cerdik. Kehilangannya persis hilangnya suluhan obor yang menerangi kepekatan malam.

Tanpanya tiada makna amalan, perjuangan dan harapan.

Hakikatnya, kemenangan tentera-tentera Islam terdahulu mengalahkan angkatan kafir, yang jauh lebih ramai dan lengkap bersenjata adalah kerana kekuatan keimanan mereka kepada Allah Yang Esa.

  • Semangat

Punca semangat ialah perasaan yang segar bugar. Tidak pernah padam. Tidak pernah kelam. Tidak pernah tenggelam!

Golongan pemuda perlulah sentiasa hangat semangat, kuat kudrat serta terisi emosi bagi membolehkan mereka menggalas sebarang amanah ummah di atas bahu mereka.

  • Tindakan

Keikhlasan, keimanan dan semangat tanpa tindakan tidak bermakna apa-apa. Ya, tidak sedikitpun! Kerana agama Islam itu sendiri adalah agama perbuatan iaitu tunduk dan patuh.

Asasnya ialah keazaman yang tinggi melangit, keberaniaan turun ke medan sengit serta kesabaran menahan sakit yang menggigit!

Dengan bekalan 4 kualiti hebat ini, menjadi tanggungjawab para pemuda untuk menggalas tanggungjawab berat bagi membangunkan umat yang sedang lena pada hari ini, dengan melepaskan kepentingan serta keseronokan diri sendiri, mengubah sikap, berfikir panjang untuk kebaikan umat, bekerja keras siang dan malam membentuk generasi masa hadapan, serta membangunkan sebuah masyarakat yang cintakan Islam dan perjuangan Islam.

Sungguh, kita tidak ketandusan contoh dan teladan dalam hal ini.

Dalam Al-Quran, Allah S.W.T  menggambarkan susuk tubuh pemuda yang berkualiti dalam Surah Al-Kahfi:

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Al- Kahfi:13)

Selain itu, kitab suci Al-Quran turut sarat dengan pelbagai kisah para pemuda yang tegas dengan agenda perjuangan meninggikan kalimah Allah S.W.T seperti Nabi Ismail A.S, Nabi Yusuf A.S dan Luqman.

Kisah Ghulamul Dakwah yang diabadikan dalam Surah Al-Buruj juga amat besar pengajarannya kepada para pemuda hari ini, yang amat sengit bertarung dengan kehendak keluarga, pelajaran dan kerjaya dalam pada yang sama berusaha untuk mentarbiah diri dan mengajak orang lain ke jalan kebaikan serta amal soleh.

Apakah persamaan yang ketara di kalangan tokoh-tokoh pemuda pejuangan risalah Ilahi ini?

Ya, selain ketinggian iman dan takwa, persamaan utama mereka ialah kejelasan matlamat dan objektif perjuangan yang digalas.

Matlamat ini dapat disimpulkan dengan kata-kata Rubi’e bin ‘Amir kepada Rustam, ketua angkatan bersenjata Parsi, apabila beliau ditanya akan sebab kemaraan orang-orang Islam ketika itu:

“Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam. Maka kami diutus dengan agama Allah kepada mahluk-Nya untuk menyeru mereka kepada Allah.
Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanahair mereka dan sesiapa yang enggan kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan.”

PERSIAPAN PEMUDA ISLAM

Setelah menginsafi keadaan dan realiti umat yang sangat parah hari ini, pasti satu soalan ini bertandang  di minda:

“Apa yang perlu aku buat untuk memperbaiki keadaan?”

Benar, masa untuk meratap nasib umat ini telah tamat! Air mata umat ini telah lama kering. Kini adalah masa untuk bertindak!

Cukupkah hanya dengan melengkapkan 6 rukun iman dan 5 rukun Islam secara individu?

Cukupkah hanya dengan menguasai Islam dan menyampaikannya melalui pertuturan dan penulisan?

Cukupkah hanya dengan amal kebajikan umum, memberi makan orang miskin, merawat orang sakit serta menyelamatkan mangsa bencana?

Cukupkah hanya dengan aktif berpersatuan Islam, berorganisasi, beraktiviti sampai ke mati?

Cukupkah? Cukupkah? Cukupkah?

Jawapannya mudah. Kesemua perkara di atas sangat penting dan menjadi teras kepada agama, namun tidak cukup  untuk menegakkannya sehingga mencapai penguasaan terhadap dunia.

Untuk mencapai objektif ini, kekuatan kuasa Barat yang merupakan musuh Islam perlu ditumbangkan terlebih dahulu.

Inilah gambaran keseluruhan yang perlu difahami oleh seorang anak muda yang mengaku sayangkan agamanya.

Perjuangan kita tidak terbatas kepada amalan-amalan ritual yang  terpisah dan kecil semata, tapi sebaliknya bersifat menyeluruh.

Untuk menjadi penguasa dunia!

Oleh  itu, persiapan dan perancangan yang dilakukan perlulah juga bertaraf dunia

“Besar sangatlah matlamat tu, macam tak terjangkau je…”

“Tak mampu la bro….silap-silap makan ratus tahun nak capai tu!”

“Logik ke? Keadaan dah terlalu teruk. Masih ada harapan tak?”

“Mesti ada shorcut! Takkan kita perlu mula dari kosong?”

“Perlu ke sasar macam begitu sekali, aku tengok Islam sekarang ok jer….”

Inilah antara respon biasa yang anda bakal terima.

Tidak dinafikan ia satu misi terlalu besar. Ia bakal memakan masa yang sangat panjang. Ia juga  memerlukan pengorbanan masa, harta bahkan nyawa.

Tapi ingat, ia adalah sesuatu yang WAJIB!

Anda perlu memulakan sesuatu secara bersistem dan berjemaah, berdasarkan kemampuan dan kemahiran peribadi untuk mencapai matlamat yang sangat mulia dan besar ini.

Saya bawakan contoh mudah.

Maksud saya mudah untuk difahami.  Tapi tak mudah untuk dibuat.

Antara masalah serius yang melanda generasi belia di Malaysia dan di seluruh dunia hari ini ialah masalah pergaulan bebas, penzinaan, pelacuran, pengguguran janin, pembuangan bayi, sumbang mahram dan banyak lagi.

Pendek kata, masalah berkaitan seks.

Impaknya usah cerita. Barah ini menjahanamkan segalanya.

Golongan baik yang sedar pun memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab untuk merawat masalah umat ini atas kapasiti individu atau persatuan Islam.

Kempen dilancar, khidmat kaunseling disebar, ceramah agama diajar dan statistik dipapar.

Apa hasilnya?

Di sudut yang lain pihak yang memegang kuasa terus menerus  menganjurkan program hiburan yang bercampur lelaki dan perempuan, meluluskan konsert-konsert artis luar negara yang hampir bertelanjang membuat persembahan, meluluskan permit pusat hiburan dan judi, hotel budget, rumah urut serta kelab malam yang terang-terang menjadi sarang maksiat.

Mereka turut membiarkan jutaan laman web lucah, buku dan majalah, iklan dan rancangan televisyen berunsur seks bermaharaja lela tanpa sekatan dan penguatkuasaan sewajarnya.

Sistem pendidikan terus meminggirkan pelajaran agama, sistem perundangan terus mengikut acuan Barat.

Nampak tak?

Anda menitiskan satu titik putih, penguasa menumpahkan selautan dakwat hitam buat menghancurkan generasi akan datang.

Di sinilah pentingnya orang baik yang ada kesedaran  melihat gambaran realiti yang sebenar dan berusaha untuk merubah melalui kekuatan penguasaan Islam.

Suka saya ingatkan, anda akan terus dapat pahala berdasarkan keikhlasan dan kesungguhan mengubati penyakit umat ini.

Allah melihat kepada usaha, bukan hasil.

Namun demikian, alangkah baiknya jika bekerja secara lebih bijak dan terancang untuk hasil yang lebih optimum.

Jangan jadi orang baik yang tertipu!

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker