Berita Utama

Polis Terengganu rampas RM5.2 juta dadah tahun ini

1,159 orang ditangkap tahun ini berbanding 882 orang tahun lalu

KUALA TERENGGANU, 27 Rabiulawal 1443H, Rabu – Polis Terengganu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.2 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Norhalid Kimi berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan RM2.4 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan rampasan tertinggi melibatkan dadah jenis syabu sebanyak 15.8 kilogram (kg), diikuti pil kuda (11.79 kg) dan heroin (4.38 kg).

“Selain itu, 1,159 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini berbanding 882 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan itu antaranya disebabkan tumpuan diberikan polis terhadap pengedar dadah dalam kategori bekalan dan penagih tegar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis serahan barang kes narkotik untuk program pelupusan 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung.

Sebanyak 92.8 kg dan 100,000 liter dadah termasuk pil kuda, syabu, ubat batuk, ganja dan daun ketum bernilai RM5.6 juta dilupuskan dalam program tersebut.

Dalam pada itu, Norhalid berkata pasukan narkotik kini sedang giat melaksanakan Ops Jihad Dadah 2.0 di 21 kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih dan pengedar dadah.

“Dengan pembukaan rentas negeri kami percaya aktiviti pengedaran dan penagihan juga semakin aktif kerana mereka sudah boleh berkumpul.

“Jadi kami akan laksana Ops Jihad Dadah 2.0 secara strategik dan habis-habisan dengan sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan kegiatan dadah dapat dibanteras,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button